KUNAK: Seorang wanita maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Kunak–Semporna, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.46 pagi, mangsa berusia 44 tahun yang memandu kereta berkenaan maut di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu akibat hentaman kuat.
Tiga penumpang lain yang juga wanita dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam sama sebelum sepasukan lima anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan dua lori tiga tan dan sebuah kereta.
“Seorang wanita didapati tersepit di bahagian pemandu manakala tiga lagi mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan ‘rescue tools’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Wanita berkenaan berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi,” katanya. – SABAH MEDIA