Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA BELUD: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi bencana menerusi penyerahan bekalan kesiapsiagaan kepada penduduk Kampung Melangkap Kapa sebagai usaha memperkukuh keupayaan tindak balas awal terhadap kebakaran.

Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Makmal Hidup Bencana Alam (MaHBAM) UMS, dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kota Belud.
Ia melibatkan penyerahan alat pemadam api kepada Task Force Bencana Kampung Melangkap Kapa bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Program itu dilaksanakan susulan insiden kebakaran pada 21 Februari lalu yang memusnahkan 12 buah rumah dan menyebabkan tiga lagi mengalami kerosakan, selain mendedahkan kekurangan peralatan pemadaman kebakaran di peringkat komuniti serta cabaran akses jentera bomba ke kawasan kampung.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, penyediaan bekalan kesiapsiagaan bencana bertujuan memperkukuh keupayaan komuniti untuk bertindak sebagai responden awal (first responder) ketika berdepan situasi kecemasan.
“Tindakan awal yang pantas oleh komuniti mampu membantu mengawal kebakaran pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Bagi memastikan peralatan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum, JBPM Kota Belud turut mengendalikan latihan praktikal penggunaan alat pemadam api, sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk dalam mengendalikan situasi kecemasan secara selamat dan berkesan.
“Pendekatan yang menggabungkan penyediaan peralatan serta latihan praktikal ini dijangka dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti, di samping meningkatkan keyakinan penduduk untuk bertindak segera dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Carolyn menyampaikan bekalan kesiapsiagaan tersebut kepada Ketua Kampung Melangkap Kapa, James Palit, yang mewakili Task Force Bencana kampung berkenaan baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Bomba Kanan II JBPM Kota Belud, Patrick Marius Liansun; Pegawai Bomba JBPM Kota Belud, Khairi Saifuddin dan Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.






