Read Time:2 Minute, 42 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tiada sebarang elemen yang menunjukkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir melakukan ‘masking’, Mahkamah Koroner diberitahu.
Saksi ke-76, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Kaunselor Berdaftar, Dr Noor Aishah Rosli, mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri dalam prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Shahlan: Doktor, bagi kes Zara ni, adakah doktor mendapati Zara melakukan ‘masking’?
Saksi: Dalam proses saya memperhalusi sejarahnya daripada lahir sehingga akhir-akhir hayatnya itu, saya tidak nampak langsung satu elemen tentang ‘masking’.
Shahlan: Dr. Chua ada memberi pandangan beliau bahawa remaja sangat lazim melakukan ‘masking’. Boleh beri pandangan doctor mengenai perkara ini?
Saksi: Bagi pandangan saya, remaja tidak lazim melakukan ‘masking’. Tetapi remaja, khususnya yang mengalami high-functioning autism, selalunya akan melakukan ‘masking’ untuk membantu mereka menyesuaikan diri dalam interaksi sosial. Sebab kesukaran utama mereka ialah dalam aspek sosial. Jadi, apabila hendak pergi sekolah, masuk universiti atau pergi ke pejabat, mereka melakukan ‘masking’ supaya kelihatan sama seperti yang lain.
Jadi, pada saya ‘masking’ ni bukan satu tingkah laku kanak-kanak. Sebab saya dalam bidang ni yang ada lama dan telah berjumpa dengan pelbagai lapisan different activities tentang kanak-kanak remaja ni, tidak ada usul-usul ‘masking’ sebab kanak-kanak remaja ni mereka ni masih lagi menunjukkan diri dia. Dia nak cakap, dia react, dia nak merajuk, dia nak marah, dia akan tunjuk tingkat laku tersebut. Dia tidak perlu nak masking, dia tidak perlu nak sembunyikan daripada apa-apa.
Shahlan: Doktor, apakah yang dimaksudkan dengan ‘masking’ dalam sudut psikologi?
Saksi: Masking ni bermaksud seseorang yang nak cover supaya tak nampak dia berbeza dengan orang lain. Yang kedua, orang yang mengalami masking itu tahu dia tidak berkelakuan seperti kebanyakan orang lain. Dia sebenarnya seorang yang atypical, tapi dia cuba jadi macam orang normal. Yang Arif, sepanjang kerjaya saya sebagai ahli psikologi selama 18 tahun, saya banyak buat artikel, membaca kajian (research) dan sebagainya. Masking ni selalunya dikaitkan dengan keadaan autisme. Kita biasa dengar individu dengan high-functioning autism yang melakukan masking. Sebab itu ramai individu dengan high-functioning autism boleh bekerja, boleh berkahwin dan boleh bersosial sebab dia ada elemen masking yang tinggi. Dia cuba jadi macam biasa, macam orang lain. Tetapi apabila dia bersendirian, di rumah dan sebagainya, dia akan kembali menjadi dirinya sendiri.
Shahlan: Bagaimana seorang pakar psikologi atau psikiatri menentukan seorang kanak-kanak dan remaja tersebut melakukan masking?
Saksi: Contoh yang kita mudah faham…. Kalau seseorang itu dia tak boleh nak bersosial. Dia macam kuat sangat nak bersosial tapi dia cuba juga. Padahal kita dah tahu sejarah ni dia memang susah nak bersosial. So, dia bersosial, dia mingle dengan orang. Kemudian bila dia bersendirian, dia rasa penat. Dia rasa letih dengan tindakan laku masking tadi. Itu boleh kita katakan dia cuba bermasking bukan menjadi dirinya sendiri. Dan masking ni bukannya boleh berpanjangan, dia akan buat ikut situasi tertentu.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Kematiannya mencetuskan gelombang solidariti pelbagai pihak yang menuntut siasatan menyeluruh bagi merungkai punca kejadian.
Mayatnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 bagi menjalani bedah siasat keesokan harinya di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Inkues kematian Zara bermula pada 3 September 2025.






