Read Time:1 Minute, 32 Second
BEAUFORT: Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes buli dan ugutan jenayah yang dipercayai membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu yang dipercayai melibatkan perbuatan meminta wang secara berulang serta ugutan jenayah oleh beberapa individu.
Menurutnya, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan atau buli melalui perkataan, komunikasi atau perlakuan yang boleh menyebabkan seseorang mengalami ketakutan, tekanan atau kegusaran, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Hasil tindakan pantas dan risikan yang dijalankan sejurus laporan diterima, polis berjaya menahan empat suspek bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek telah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk buli, ugutan jenayah, pemerasan atau perlakuan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru murid, pelajar, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli, ugutan atau gangguan.
Katanya, mangsa, saksi atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian seumpama itu disaran segera tampil menyalurkan maklumat atau membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.






