Read Time:2 Minute, 7 Second
BELURAN: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak berpotensi menimbulkan isu serius sekiranya dasar itu tidak diperincikan semula mengikut keperluan sebenar rakyat di kedua-dua negeri.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana pelaksanaannya berisiko menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat di wilayah Borneo terhadap dasar baharu kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting, Ulu Sapi, Nangoh, dekat sini, semalam.
Menurut Masiung, kuota subsidi sebanyak 200 liter sebulan tidak sesuai dengan keadaan geografi Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan kawasan serta jarak perjalanan jauh, khususnya di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan Persekutuan menaikkan kuota subsidi kepada antara 300 hingga 500 liter bagi setiap kenderaan diesel.
“Bentuk muka bumi dan keluasan Sabah serta Sarawak tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri kecil di Semenanjung Malaysia.
“Suara rakyat Borneo juga tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kedua-dua negeri ini merupakan antara penyumbang utama industri minyak dan gas negara,” katanya.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, syarat kelayakan BUDI Diesel yang dianggap terlalu ketat turut menyukarkan ramai rakyat mendapatkan subsidi berkenaan.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan melonggarkan syarat kelayakan dan menyelaraskan pelaksanaan subsidi diesel dengan mekanisme subsidi petrol bagi memudahkan rakyat.
“Subsidi bersasar BUDI Diesel memberi tekanan kepada pemilik kenderaan persendirian, terutama di kawasan pedalaman.
“Kita menghormati usaha kerajaan Persekutuan membendung ketirisan subsidi diesel, namun jarak perjalanan di Sabah dan Sarawak jauh berbeza berbanding Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kuota 200 liter sebulan adalah tidak praktikal memandangkan penduduk di kawasan pedalaman perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan asas atau berurusan di bandar.
Sebagai contoh, katanya, penduduk di kawasan Kuamut perlu memandu antara lima hingga enam jam untuk ke Kota Kinabalu, dengan penggunaan diesel dianggarkan sekitar 100 liter bagi perjalanan sehala. Ini bermakna perjalanan pergi dan balik boleh menghabiskan kira-kira 200 liter dalam sehari.
“Perlu diingat, kawasan Kuamut di daerah Tongod lebih luas daripada negeri Kedah dan hampir menyamai keluasan Johor.
“Ramai petani dan penduduk luar bandar juga menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan atas nama sendiri kerana dibeli melalui pinjaman syarikat atau kaedah sambung bayar. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi BUDI Diesel.
“Selain itu, masih banyak kawasan pedalaman yang belum mempunyai kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik. Penduduk bergantung kepada bot sebagai pengangkutan serta generator diesel untuk menjana elektrik, namun mereka tidak menikmati subsidi dan terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter,” katanya.






