KOTA KINABALU : Sebanyak 21 kompaun berjaya dikeluarkan dalam Ops Bersih: Full Force yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di beberapa lokasi tumpuan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berskala besar itu memberi tumpuan kepada kawasan Segama Waterfront, Jeti DBKK, Sinsuran, KK Plaza, Pasar Besar Kota Kinabalu, Segama dan Centre Point.
Menurut DBKK, operasi yang berlangsung dari jam 6 petang hingga 11 malam itu disertai seramai 13 anggota Unit Kawal Selia, Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK.
“Kompaun yang dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005) itu dibayar serta merta terhadap individu yang didapati membuang sampah di kawasan awam,” menurut kenyataan itu di sini.
Pelaksanaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan DBKK dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan tahap kebersihan bandaraya serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang demi kesejahteraan warga Kota Kinabalu.
DBKK akan terus memperhebat dan melaksanakan operasi seumpama ini secara berterusan di lokasi-lokasi tumpuan.
Sehubungan itu, orang awam diseru untuk memberikan kerjasama dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab, membuang sampah di tempat yang disediakan serta bersama-sama memelihara kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu.






