Read Time:2 Minute, 5 Second
JAKARTA : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluaskan manfaat kepakaran dalam bidang psikologi, kaunseling dan intervensi sosial menerusi pelaksanaan program komuniti serta akademik di Komunitas Rumah Belajar (eRBe), Pondok Kopi dan Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia.
Dekan Fakultas Psikologi UMB, Profesor Madya Dr. Laila Meillyandrie Indah Wardani berkata, kerjasama antarabangsa itu bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua institusi, malah memberi manfaat secara langsung kepada komuniti melalui pelaksanaan program yang berteraskan pendidikan dan kesejahteraan sosial.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan UMB, malah menjadi platform penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan yang mampu mengaplikasikan ilmu psikologi dan kaunseling dalam menangani cabaran masyarakat secara lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program Specialized Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) UMS, Dr. Patricia Joseph Kimong berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut memberi impak secara langsung kepada komuniti melalui pendidikan keselamatan diri kepada kanak-kanak dan remaja, di samping memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar serta pensyarah menerusi perkongsian kepakaran dan amalan profesional dalam bidang psikologi dan intervensi penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, di eRBe, peserta didedahkan dengan pengetahuan mengenai keselamatan diri serta pencegahan gangguan seksual melalui pendekatan pembelajaran interaktif yang disesuaikan mengikut peringkat umur.
“Aktiviti berasaskan simulasi, permainan pendidikan dan latihan berkumpulan membantu peserta memahami hak terhadap tubuh badan sendiri, mengenal pasti situasi berisiko, berani berkata ‘tidak’ serta membina keyakinan untuk mendapatkan bantuan daripada individu dewasa yang dipercayai apabila berhadapan dengan ancaman atau gangguan,” katanya.
Dalam pada itu, delegasi UMS turut mengikuti siri perkongsian akademik di Fakultas Psikologi UMB yang memfokuskan kepada bidang psikologi, kaunseling dan intervensi penyalahgunaan dadah.
Patricia berkata, kemuncak program diserikan menerusi sesi Psychobridge 2026: Beyond Addiction – Empowering Communities Through Counselling and SPADA Intervention, yang menjadi platform kepada pelajar Sarjana SPADA UMS berkongsi pengetahuan mengenai jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaan bahan terhadap individu dan masyarakat serta pendekatan intervensi yang berkesan.
“Melalui sesi ini, peserta turut diperkenalkan kepada pendekatan rawatan menggunakan Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy, CBT) serta strategi pencegahan penyalahgunaan dadah. Pendekatan ini sekali gus memperluaskan pemahaman mengenai amalan intervensi berasaskan komuniti dan kaunseling dalam memperkasakan usaha pencegahan serta pemulihan penyalahgunaan dadah.
“Delegasi UMS juga berpeluang meninjau kemudahan makmal psikologi UMB serta mengikuti aktiviti pembelajaran gunaan yang memperlihatkan aplikasi instrumen penilaian psikologi dan pendekatan intervensi dalam situasi sebenar.
“Pelaksanaan kedua-dua program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran komuniti terhadap isu keselamatan diri dan penyalahgunaan dadah, malah memperluaskan pemindahan ilmu serta amalan terbaik dalam kalangan ahli akademik dan pelajar kedua-dua institusi,” katanya.






