Read Time:1 Minute, 59 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Karnival KK Greenovation 2026 menjadi antara inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai inovasi hijau dan amalan mesra alam.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, inisiatif itu dilaksanakan seiring aspirasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar, Bandar Rendah Karbon serta Bandar Mesra Kanak-Kanak dan Warga Emas.
Beliau berkata, usaha itu juga penting memandangkan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang terus berkembang kini berhadapan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, peningkatan sisa pepejal serta penggunaan sumber yang semakin tinggi.
“Justeru itu, pembangunan bandar hari ini memerlukan pendekatan yang bukan sahaja berteraskan inovasi dan teknologi, malah disokong oleh penglibatan aktif masyarakat.
“Seiring dengan hasrat tersebut, Karnival KK Greenovation 2026 menjadi salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai inovasi hijau dan amalan mesra alam,” katanya ketika merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival KK Greenovation 2026 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, karnival itu mencerminkan komitmen berterusan DBKK dalam memperkukuh budaya inovasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
“Melalui platform ini, pelbagai pihak dapat berkongsi pengetahuan, memperluas kerjasama dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha membentuk bandar raya yang lebih berkualiti, berdaya tahan dan selesa untuk didiami,” katanya.
Sabin berkata, pengisian sepanjang karnival disusun bagi mendidik masyarakat melalui pengalaman dan penyertaan secara langsung.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Green Footprint Tree Planting, pameran teknologi hijau, demonstrasi Internet of Things (IoT), Green Footprint TikTok Challenge, Green Tech Explorer, pertandingan mewarna, pertandingan Jingle AI serta pelbagai bengkel pendidikan.
Beliau berkata, kesemua aktiviti itu membawa mesej bahawa pemeliharaan alam sekitar bermula daripada tindakan yang konsisten.
“Amalan pengasingan sisa, kitar semula, penggunaan tenaga secara berhemah, penghijauan kawasan persekitaran serta penerapan teknologi hijau merupakan langkah-langkah yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan pembangunan bandar raya,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan aktif golongan kanak-kanak dan belia dalam karnival itu amat dialu-alukan kerana merekalah generasi yang akan meneruskan agenda pembangunan bandar raya pada masa hadapan.
Katanya, usaha memperkasakan golongan itu melalui pendidikan, kreativiti, penyelidikan dan inovasi perlu terus diperkukuh bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan, bertanggungjawab serta bersedia menjadi pemacu perubahan.
“Setiap usaha yang kita lakukan, walau sekecil mana sekalipun, mampu menyumbang kepada masa depan Kota Kinabalu.
“Saya berharap Karnival KK Greenovation 2026 ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berteraskan penyelidikan, inovasi dan teknologi hijau yang memberi manfaat berterusan kepada Masyarakat,” katanya.






