Read Time:2 Minute, 3 Second
Oleh J Evachel John
SANDAKAN: Seorang warga asing didenda keseluruhan RM188,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan membabitkan kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram kepada penduduk sebuah penempatan setinggan.
Tertuduh, Laken Jiram, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Roslinda Razali selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Tertuduh telah melakukan semua kesalahan itu pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 4.05 pagi, di penempatan setinggan Kampung Kagayan, di sini.
Mahkamah mengenakan denda RM80,000 atau lapan bulan penjara bagi setiap pertuduhan membekalkan elektrik tanpa lesen mengikut Subseksyen 8(1)(b) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan mengganggu pepasangan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) mengikut Subseksyen 61(1) enakmen sama.
Bagi pertuduhan mengambil elektrik secara curang, tertuduh didenda RM8,000 atau tiga bulan penjara, manakala bagi pertuduhan memasang sambungan elektrik secara haram tanpa kelulusan bertulis SESB, dia didenda RM20,000 atau tiga bulan penjara.
Laken gagal membayar denda dan diperintahkan menjalani hukuman penjara. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang diketuai Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama SESB, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram di penempatan setinggan berkenaan.
Pegawai Pendakwa ECoS, Andryeno Thomas, yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan itu dilakukan secara terancang, berterusan dan bermotifkan keuntungan komersial.
Katanya, penyambungan dibuat tanpa mematuhi piawaian keselamatan sehingga mewujudkan risiko renjatan elektrik, kebakaran dan kehilangan nyawa kepada penduduk sekitar.
Beliau berkata, siasatan mendapati tertuduh bukan sekadar menggunakan bekalan elektrik secara haram untuk kegunaan sendiri, malah membekalkan elektrik kepada kira-kira 10 rumah jiran dengan mengenakan bayaran bulanan antara RM15 hingga RM30 bagi setiap rumah sebagai sumber pendapatan.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa tertuduh mengaku menjalankan kegiatan itu selama hampir dua tahun, walaupun mengetahui perbuatan tersebut menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, tertuduh juga merupakan rakan subahat kepada Zaini Mubin, yang didakwa di mahkamah sama pada Rabu lalu atas kesalahan berkaitan penyambungan bekalan elektrik secara haram di kawasan sama.
“Hukuman berbentuk pencegahan (deterrent) amat penting bagi melindungi kepentingan awam, memastikan integriti sistem bekalan elektrik terus terpelihara serta membendung kegiatan sindiket penyambungan bekalan elektrik haram yang semakin berleluasa di Sandakan,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini lima individu telah didakwa hasil Operasi Bersepadu membanteras kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram, iaitu Zaini Mubin, Sumailah Cuba, Laken Jiram, Ahmad Safuan Baharuddin dan Asis Cengkuru.






