Read Time:2 Minute, 22 Second
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar akan membawa hasil sesi libat urus mengenai pelaksanaan program BUDI Diesel di Sabah ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.
Beliau berkata, sesi libat urus itu diadakan di pejabatnya semalam membabitkan semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah serta ketua jabatan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang beroperasi di Sabah.
Perbincangan itu turut disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam, serta pegawai kementerian berkaitan.
Jamawi berkata, pelbagai isu yang dihadapi rakyat Sabah berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel dibangkitkan secara langsung kepada Kementerian Kewangan.
“Semalam kami mengadakan dialog secara terbuka bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pegawai Kementerian Kewangan. Kami memberikan gambaran sebenar keadaan di lapangan, khususnya di luar bandar, kampung, dalam kalangan penggiat industri makanan dan pengusaha pengangkutan yang terkesan dengan pelaksanaan BUDI Diesel.
“Kami menyampaikan suara rakyat Sabah dan menjelaskan cabaran yang dihadapi masyarakat, termasuk isu membabitkan bas sekolah di kawasan luar bandar yang memainkan peranan penting membawa murid ke sekolah tetapi berdepan kekangan berkaitan kelayakan subsidi diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan di Sabah berbeza dengan Semenanjung kerana banyak kawasan luar bandar tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah konvensional yang mencukupi, sekali gus menyebabkan pengusaha pengangkutan tempatan memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan dan mobiliti masyarakat.
Jamawi berkata, beliau telah mendapat kebenaran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengadakan sesi libat urus berkenaan dan hasil perbincangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri pada mesyuarat akan datang.
“Saya akan membawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri bagi mendapatkan sokongan Kabinet supaya Kerajaan Negeri turut menyokong isu, maklumat dan cadangan yang telah dikumpulkan oleh MAFFI.
“Kita berharap akan ada penambahbaikan dari segi tatakelola dan tatacara pelaksanaan BUDI Diesel yang lebih sesuai dengan keadaan serta keperluan rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata antara cadangan utama yang dikemukakan ialah menyelaraskan pelaksanaan BUDI Diesel dengan tatacara BUDI RON95.
Beliau turut mencadangkan supaya proses kelulusan dan permohonan dipermudahkan bagi pemilik kenderaan yang masih menggunakan kaedah pembiayaan sambung bayar.
Selain itu, beliau mengesyorkan kuota diesel ditambah kepada petani, penternak, penoreh getah dan pengusaha industri makanan di kawasan bandar serta luar bandar yang banyak menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan mengambil kira jarak perjalanan bulanan.
Cadangan lain termasuk pemberian bantuan tunai bulanan menerusi inisiatif BUDI Agri-Komoditi kepada pengusaha pertanian, penternakan, penoreh getah dan penggiat industri makanan berskala kecil.
Jamawi berkata, beliau menghargai kesediaan Johan bersama pegawai Kementerian Kewangan mendengar pandangan dan cadangan yang dikemukakan.
“Diharapkan segala pandangan, cadangan dan idea penambahbaikan yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian serius demi memastikan pelaksanaan BUDI Diesel benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah,” katanya.






