Read Time:2 Minute, 17 Second
PENAMPANG: Taman-Taman Sabah (TTS) muncul juara keseluruhan Sukan Peringkat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Kali Ke-10 Tahun 2026 di sini pada Rabu.
Kontinjen itu berjaya mencatat prestasi cemerlang dengan meraih 20 pingat emas daripada keseluruhan 25 pingat yang dimenangi sepanjang temasya sukan dwitahunan itu.
Keputusan rasmi itu diumumkan Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai, pada Majlis Penutupan Sukan KePKAS Ke-10 yang berlangsung di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini.
Sebanyak tujuh kontinjen mengambil bahagian dalam kejohanan yang mempertandingkan 14 acara sukan, terdiri daripada Taman-Taman Sabah (TTS), Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL), KePKAS, Jabatan Muzium Sabah (JMS) dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS).
Dalam ucapan penutupannya, Josie berkata kejayaan penganjuran sukan edisi kali ini membuktikan disiplin, komitmen tinggi dan semangat kerja berpasukan merupakan faktor utama yang mendorong kecemerlangan sesebuah kontinjen.
“Syabas kepada semua kontinjen yang telah mengambil bahagian. Kepada pasukan yang berjaya muncul sebagai juara, pencapaian ini amat membanggakan.
“Namun kepada yang belum meraih kejayaan, jangan melihat keputusan hari ini sebagai satu kegagalan. Dalam sukan, pengalaman dan pengajaran merupakan kemenangan yang turut dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga KePKAS.
Mengulas tema kejohanan tahun ini, “Harmoni, Integriti, Tumbuh Bersama Dalam Sukan”, beliau berkata nilai-nilai itu jelas dizahirkan melalui semangat kesukanan, saling menghormati dan kerjasama yang dipamerkan oleh semua kontinjen sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kita bukan sahaja menyaksikan persaingan yang sihat, tetapi juga melihat warga daripada pelbagai jabatan berinteraksi, berlatih dan bertanding sebagai satu keluarga besar KePKAS. Inilah matlamat sebenar penganjuran Sukan KePKAS,” katanya.
Berdasarkan keputusan rasmi, STB muncul naib juara dengan kutipan dua pingat emas, tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa, manakala LKNS menduduki tempat ketiga selepas meraih dua pingat emas, empat pingat perak dan lapan pingat gangsa.
JHL pula menduduki tempat keempat dengan 12 pingat, diikuti KePKAS di tempat kelima dengan tujuh pingat, JMS di tempat keenam dengan empat pingat dan JPAS di tempat ketujuh dengan dua pingat.
Sepanjang kejohanan, TTS mendominasi beberapa acara utama apabila merangkul pingat emas dalam bola sepak, badminton, bola tampar, futsal lelaki, futsal wanita, sepak takraw, boling padang serta tarik tali lelaki dan wanita.
Dalam majlis sama, JHL Sabah diumumkan sebagai tuan rumah Sukan KePKAS Ke-11 yang dijadual berlangsung pada 2028.
Josie turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selaku penganjur serta semua jawatankuasa pelaksana, pegawai teknikal, pengadil, urus setia dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kejohanan itu berlangsung lancar dan jayanya.
Beliau mengingatkan seluruh warga KePKAS supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika pulang ke destinasi masing-masing.
“Tiada kemenangan yang lebih bermakna selain dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya. – FOTO SABAH PARK






