Read Time:1 Minute, 40 Second
TENOM: Hakisan tebing sungai yang semakin kritikal di Kampung Ulu Uloi sehingga mengancam keselamatan sebuah rumah penduduk mendapat perhatian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Jamawi berkata, isu itu dikenal pasti selepas menerima laporan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) mengenai hakisan berhampiran kediaman Zubaidah Abd. Mazid.
Menurutnya, hakisan berkenaan dipercayai berpunca daripada banjir besar yang berlaku beberapa tahun lalu dan menjadi semakin buruk susulan kejadian banjir terbaru.
Bagi menilai keadaan sebenar, Pegawai Khas beliau, Mohd. Nizam Ag. Kassim mewakili beliau mengadakan lawatan baru-baru ini ke lokasi bersama agensi berkaitan untuk meninjau tahap kerosakan serta menyelaras tindakan susulan.
Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Azrie, Pemaju Mukim, Mimi Azerrah Musno, wakil PPM N.42 Melalap, Denesly Justin, Pengerusi JKKK Kampung Ulu Uloi, Jasri Johari serta Herryzan dan Carl Amo.
Jamawi berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada Ketua JPS Tenom, Lahaman Dahing, bagi membolehkan tindakan segera diambil memandangkan hakisan tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan dan boleh mengancam keselamatan penduduk.
“Tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan risiko yang lebih besar kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak JPS telah memaklumkan bahawa kes berkenaan akan diberi keutamaan dan tindakan sewajarnya akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Alhamdulillah, pihak JPS memberi jaminan akan mengutamakan kes ini dan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk Kampung Ulu Uloi terus terpelihara,” katanya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada JPS, pemimpin masyarakat dan semua pihak yang bekerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap masalah hakisan itu.
Katanya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan setiap isu yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dapat ditangani dengan berkesan.
“Setiap aduan rakyat diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan. Insya-Allah, kerjasama antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan kawasan N.42 Melalap,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan sehingga langkah penyelesaian yang sesuai dapat dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.






