Read Time:1 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Seramai 18 warga asing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman terhadap warga Filipina, Indonesia dan Pakistan yang didakwa secara berasingan.
Daripada jumlah itu, 11 warga Filipina dan seorang warga Indonesia dipenjara empat bulan dari tarikh tangkap selepas mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa pas yang sah.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dua lagi tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa di Sabah.
Seorang lelaki warga Pakistan didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, manakala seorang wanita warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tiga lelaki warga Filipina dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa pas yang sah.
Mereka turut dipenjara enam bulan dan dikenakan satu sebatan selepas mengaku bersalah memasuki semula Sabah secara tidak sah selepas pernah diusir atau disingkirkan dari negara ini.
Seorang lagi lelaki warga Pakistan pula didenda keseluruhan RM4,500 selepas mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa pas yang sah serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kamrul Md Yusof.






