PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 47 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motokar dan motosikal di Jalan Kota Kinabalu-Papar, Kilometer 17, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motokar yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sebelum terbakar, manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk dibedah siasat.
Menurutnya, pemandu motokar terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa.






