Read Time:1 Minute, 46 Second
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’ apabila mendakwa kononnya memperjuangkan hak negeri Sabah, termasuk isu sempadan maritim dan sumber asli.
“Selama ini mereka membina persepsi bahawa Kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah. Persepsi itu dibina tanpa bukti sahih. Retorik pula dilontarkan kononnya mereka pejuang tegar hak dan kepentingan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Armizan, menjelang pilihan raya negeri kali ini, beliau membawa satu contoh jelas berkaitan isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012, yang menunjukkan ketidakkonsistenan Shafie dalam mempertahankan hak Sabah.
Katanya, pada 22 Julai 2025 di Parlimen, Shafie dengan lantang menyatakan bahawa sebarang perubahan melibatkan negeri perlu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sambil memetik Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Memang hebat dan memang tepat! Tapi ironinya, di mana suara Shafie pada tahun 2012 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?” soal Armizan.
“Mengapa beliau tidak membangkitkan peruntukan Perlembagaan yang sama ketika Kerajaan Persekutuan pada masa itu membentangkan Rang Undang-Undang Laut Wilayah? Adakah beliau bersuara di Parlimen atau dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 2012?” tambahnya.
Beliau menjelaskan, Akta Laut Wilayah 2012 yang berkuat kuasa pada 22 Jun 2012 telah mengehadkan hak dan kuasa sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika satu perubahan besar berbanding sempadan asal yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954.
“Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan GRS tegas dengan pendirian termasuk yang dizahirkan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012,” katanya.
“Jadi, siapa yang terbukti tegas dan siapa yang terbukti gagal? Cakap tidak serupa bikin,” tegas Armizan.
Sebagai perbandingan, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS bersama Pakatan Harapan (PH) di Sabah serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak telah berjaya memperjuangkan agar Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, bukan di Sabah dan Sarawak.
“Itu bukti jelas, bukan retorik bahawa perjuangan menjaga hak negeri dilakukan dengan tindakan, bukan kata-kata,” katanya.