Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Fairuz sedia pertahan kerusi Pintasan, jentera Pemuda Gagasan Rakyat siap siaga

Read Time:1 Minute, 4 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Katanya, kerusi itu merupakan satu-satunya kerusi anak muda dan wajar dipertahankan pada PRN akan datang.

Namun beliau menegaskan segala keputusan mengenai pencalonan masih bergantung kepada keputusan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita tunggu keputusan presiden, tetapi bagi saya Pintasan adalah satu-satunya kerusi anak muda dan suara anak muda Sabah.

“Jadi kira wajarlah kalau kami pertahankan kerusi tersebut,” katanya ketika ditemui Sabah Media sempena pelancaran jentera parti GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada PRN ke-16, Fairuz memperoleh 2,744 undi dengan majoriti sebanyak 84 undi menewaskan lima pencabar lain.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan jentera parti, Fairuz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat  berkata, persiapan jentera Pemuda Gagasan Rakyat kini berada pada tahap optimum.

Katanya, aktiviti dan program kita sedang rancak dijalankan di kesemua 73 bahagian di seluruh Sabah.

“Di peringkat pemuda, jentera kami sudah bersiap siaga. Program-program berterusan dilaksanakan bagi memastikan penglibatan anak muda terus meningkat,” ujarnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE