KOTA KINABALU: Seramai 24 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguatkuasaan di Kota Kinabalu dan Semporna bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Di Kota Kinabalu, beberapa siri operasi termasuk Operasi Bersama Majlis Daerah Putatan dan Ops Selera memeriksa seramai 109 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 18 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 warga Filipina membabitkan lima lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah dua warga Indonesia, masing-masing seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.
Sementara itu, di Semporna, operasi penguatkuasaan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Jabatan Pendaftaran Daerah Semporna memeriksa seramai 97 individu.
Hasil operasi itu membawa kepada penahanan enam warga asing, terdiri daripada tiga lelaki warga Filipina, dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga China.
JIM Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI, selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.






