Read Time:1 Minute, 57 Second
KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 peratus pengguna diesel di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter bahan api itu setiap bulan, sekali gus menunjukkan had kelayakan diesel bersubsidi sehingga 300 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan majoriti rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dapatan itu berdasarkan data penggunaan diesel yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Beliau berkata, lebih 80 peratus pengguna diesel pula menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.
“Data penggunaan diesel menunjukkan bahawa 95 peratus pengguna diesel di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter setiap bulan, manakala lebih 80 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kerajaan memahami bahawa sebahagian besar pemilik kenderaan diesel terdiri daripada pengguna kenderaan utiliti sukan (SUV), jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama oleh peniaga kecil serta penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menyediakan tambahan kelayakan sebanyak 100 liter di bawah program BUDI MADANI Diesel yang boleh dipohon oleh individu yang layak.
“Dengan tambahan itu, jumlah keseluruhan kelayakan yang boleh dinikmati pengguna yang layak adalah sehingga 300 liter sebulan,” katanya.
Amir Hamzah berkata, penetapan kuota tersebut dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar rakyat bagi memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar dan berkesan.
Beliau menjelaskan bahawa pembaharuan subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan ketirisan, malah memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.
Menurutnya, konflik di Asia Barat sebelum ini telah menyebabkan kos subsidi bahan api meningkat secara mendadak daripada sekitar RM800 juta sebulan kepada hampir RM5 bilion sebulan.
“Kerajaan perlu memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping menjamin bekalan bahan api negara sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, hasil pelaksanaan pembaharuan subsidi itu, kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun.
Katanya, sebahagian daripada penjimatan tersebut telah disalurkan semula kepada rakyat menerusi penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter bagi penerima yang layak.
Selain itu, penggunaan mekanisme MyKad dalam sistem subsidi bersasar membantu memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati manfaat subsidi berkenaan serta menutup ruang kepada penyalahgunaan dan ketirisan.
Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.






