Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Cubaan seludup rokok tanpa cukai di Perairan Sipadan digagalkan

Read Time:1 Minute, 57 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu kegiatan disyaki melibatkan penyeludupan rokok tanpa cukai menerusi rondaan Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan selatan Pulau Sipadan, Selasa lalu.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali, berkata operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan yang diterima berhubung aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pasukan operasi mengesan dua buah vesel dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan sebelum mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari sebuah kapal ke sebuah lagi bot kargo.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas kedua-dua vesel menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi yang sah.

“Pasukan operasi turut menyita pelbagai peralatan navigasi dan komunikasi termasuk sistem GPS, radar, radio komunikasi, telefon bimbit serta dokumen berkaitan kapal bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa individu di atas kapal gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen kapal yang sah, sekali gus disyaki melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan perkapalan dan imigresen.

Dalam operasi itu, seramai 20 kru dan nakhoda warga asing dari beberapa negara telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup rokok tanpa cukai, selain turut melibatkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 berhubung kegagalan mengemukakan dokumen yang sah.

Pemeriksaan ke atas kargo menemukan sebanyak 3,014 peti rokok putih, terdiri daripada 2,956 peti rokok berjenama BOSQU, 40 peti berjenama NEW ARIS, 15 peti berjenama BERLIN dan tiga peti berjenama NEW FAR.

Nilai rampasan rokok tidak bercukai dianggarkan berjumlah RM12.196 juta, manakala nilai rokok putih bercukai dianggarkan RM24.252 juta, termasuk cukai sebanyak RM12.056 juta.

“Jumlah keseluruhan nilai tangkapan termasuk kedua-dua vesel yang ditahan dianggarkan mencecah RM65.752 juta,” katanya.

Menurut Khairul Anuar, kedua-dua kapal bersama semua barang kes telah diiring ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barang tidak bercukai serta pelanggaran undang-undang maritim di perairan negara.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai dan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut boleh disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

LEAVE A RESPONSE