Read Time:1 Minute, 36 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat di negara ini diturunkan kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa mulai Julai ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan dilaksanakan seragam di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan baharu itu akan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara, termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.
Kementerian Kewangan berkata, langkah berkenaan amat penting dalam situasi krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, selain memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Pada masa sama, pelaksanaan penyasaran subsidi itu dijangka dapat mengurangkan ketirisan serta kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang berlaku akibat jurang harga yang ketara antara diesel bersubsidi dan diesel tanpa subsidi.
Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi di Semenanjung mencecah RM4.37 seliter.
Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia mencecah RM4.37 seliter.
Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.
Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok. – SABAH MEDIA






