Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

ESSCOM tahan 64 PATI dalam operasi bersepadu di Lahad Datu

Read Time:2 Minute, 48 Second

LAHAD DATU : Seramai 64 individu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dan Indonesia ditahan dalam satu operasi bersepadu di daerah ini yang dijalankan selama dua hari berakhir pada Rabu.

Operasi yang dikoordinasikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun dan rampasan dianggarkan sebanyak RM623,450.

Secara keseluruhan, operasi ini merekodkan sebanyak 71 notis dan kompaun serta dua kes pendakwaan oleh pelbagai Jabatan dan agensi penguatkuasaan.

Komander ESSCOM Datuk Victor B Sanjos berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 247 individu telah diperiksa di kawasan bandar, pinggir dan kampung sekitar Lahad Datu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 64 individu dikenal pasti sebagai PATI dan semua individu yang ditahan diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah mengeluarkan 11 kompaun pelbagai kesalahan serta memulakan dua tindakan pendakwaan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265], melibatkan kegagalan majikan mematuhi peruntukan berkaitan syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja.

“Keseluruhan tindakan tersebut melibatkan nilai penguatkuasaan sebanyak RM133,000,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Victor berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) turut mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Turut mengeluarkan saman adalah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BPST) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sebanyak 32 saman pelbagai kesalahan di bawah akta yang sama.

“Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) mengeluarkan satu kompaun bernilai RM500 di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Seragam 2010 yang dikuatkuasakan melalui Local Government Ordinance 1961 (Sabah), melibatkan kesalahan berkaitan pembersihan dan pembuangan sampah.

“Selain itu, MDLD turut menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen yang dianggarkan bernilai RM1,150.

“Dalam operasi yang sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas minuman keras tanpa lesen dan rokok seludup dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM30,000.

“Rampasan tersebut dibuat di bawah peruntukan Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 [Akta 235],” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, satu kompaun bernilai RM300 turut dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis perniagaan.

Selain itu katanya, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) turut merampas 150 kilogram kabel sambungan haram dan 23 unit pam air yang menggunakan sambungan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan sebanyak RM14,800.

Menurutnya, SESB menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram tersebut mencecah RM429,600 setahun.

“Aktiviti sambungan haram ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada utiliti awam, malah boleh mengundang risiko kebakaran dan mengancam keselamatan penduduk setempat,” katanya.

Menurut Victor, operas8 ini dilaksanakan sebagai usaha berterusan ESSCOM dalam memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), di samping membanteras kehadiran PATI, mengekang aktiviti ekonomi tidak sah serta memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, operasi itu turut memberi fokus kepada aspek penguatkuasaan terhadap kesalahan imigresen, pekerjaan, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman.

“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone,” katanya.

LEAVE A RESPONSE