KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut selepas memutuskan bahawa tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh didapati bersalah merogol remaja perempuan berusia 16 tahun itu di sebuah bilik sewa di Inanam, dekat sini, pada 6 Julai 2024.
Dia disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan, manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi bagi pihak pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Julai 2024.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh juga diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari @ Pg Johari, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan menyatakan beliau memounyai dua anak kandung dan dua anak tiri yang perlu ditanggung emmandangan semuanya masih bersekolah.
Pihak pendakwaan pula memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.






