Read Time:1 Minute, 9 Second
SANDAKAN: Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dijatuhi hukuman penjara satu tahun enam bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Tertuduh, Manan Saibung, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali pada Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didapati memiliki 490 biji telur Penyu Hijau (Chelonia mydas) dan Penyu Sisik (Eretmochelys imbricata) tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5.50 petang pada 7 Jun lalu di tepi jalan hadapan sebuah premis di daerah ini.
Kedua-dua spesies penyu berkenaan disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 dan Nombor 9 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan dan denda RM50,000. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjarakan selama 10 bulan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






