Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lelaki dipenjara 24 bulan kerana curi elektrik

Read Time:1 Minute, 22 Second

TAWAU: Seorang individu tanpa dokumen pengenalan diri dipenjara 24 bulan kerana mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Hamid Siddiq yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 61(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024) dan Seksyen 61(8) Enakmen yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 24 bulan.

Kesalahan di bawah Seksyen 61(1) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala, Seksyen 61(8) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Energy Commission of Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kes tersebut merupakan kes ketiga yang didakwa tahun ini melibatkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara.

“Hukuman yang dijatuhkan ini menunjukkan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan kecurian elektrik dan sambungan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE), malah boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik serta mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran yang mengancam keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ECoS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bekalan elektrik dan akan terus mempergiatkan operasi bersepadu bersama SE serta agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan sambungan elektrik secara haram dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

LEAVE A RESPONSE