Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sindiket edar syabu RM7.9 juta tumpas dalam Op Bayu 9

Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian yang pernah dikesan sebelum ini selepas merampas 159.8 kilogram syabu bernilai kira-kira RM7.9 juta menerusi Op Bayu 9 di sekitar Kota Kinabalu, bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah pada 22 dan 23 Mei lalu itu berjaya menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, operasi bermula dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan di kawasan City Mall, Kota Kinabalu sebelum polis menemui 9.1 kilogram syabu dalam milikannya.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan sebuah rumah di Luyang yang menemukan 64 paket plastik lutsinar yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di pusat bandar yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berkaitan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, pada Rabu.

Jauteh berkata, hasil maklumat yang diberikan suspek, polis seterusnya menyerbu sebuah unit kediaman apartment di Inanam dan merampas 68 bungkusan syabu dengan anggaran berat 69.8 kilogram.

Beliau berkata, pemeriksaan susulan terhadap sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di kawasan parkir apartment yang sama menemukan 79 lagi bungkusan syabu seberat 80.9 kilogram.

“Dadah tersebut disembunyikan di beberapa ruang khas dalam kenderaan termasuk bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang dan kompartmen belakang.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 159.8 kilogram syabu dengan nilai pasaran dianggarkan RM7.9 juta,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam kenderaan yang dibawa dari Semenanjung Malaysia ke Sabah melalui pelabuhan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, pembungkusan serta pelekat yang digunakan pada bungkusan syabu berkenaan mempunyai persamaan dengan beberapa rampasan terdahulu, termasuk kes yang pernah dikesan di Tawau.

“Kita percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan rangkaian yang sama kerana menggunakan modus operandi yang serupa.

“Dadah yang dirampas ini mampu menampung kira-kira 454,285 kali penggunaan dan sudah tentu memberi kesan besar kepada usaha membanteras bekalan dadah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 28 hingga 53 tahun dan merupakan warga tempatan.

Menurutnya, seorang suspek lelaki berasal dari Sarawak, manakala seorang lagi lelaki dan wanita terbabit berasal dari Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati wanita berkenaan berperanan sebagai koordinator yang mengurus tempahan, menerima deposit dan mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung sebelum diserahkan kepada individu lain untuk diedarkan.

“Kedua-dua suspek lelaki pula dipercayai bertindak sebagai pengedar kepada rangkaian pelanggan sindiket,” katanya.

Jauteh berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif methamphetamine dan amphetamine, manakala kedua-dua suspek lelaki didapati negatif dadah.

Beliau berkata, semakan rekod lampau turut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah terdahulu.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua kenderaan jenis Proton X50 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata Bukit Aman telah menambah kekuatan anggota JSJN Sabah bagi memperkukuh usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.

“Kerjasama semua agensi penguat kuasa amat penting bagi memperketatkan kawalan serta mengekang kemasukan dadah ke Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE