Read Time:1 Minute, 57 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan terus memberikan sokongan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam melaksanakan peranannya sebagai sebuah pertubuhan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan peranan institusi dakwah dan pembangunan insan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat serta pembentukan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkualiti.
“Sumbangan USIA dalam bidang dakwah, pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti telah banyak membantu usaha kerajaan untuk memperkasakan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad bersama rombongan di pejabatnya, di sini pada Selasa.
Masidi turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen berterusan USIA dalam melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berharap hubungan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pertubuhan itu dapat terus diperkukuhkan demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Sapawi berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Masidi atas kesudian menerima kunjungan hormat delegasi USIA dalam suasana yang mesra dan konstruktif.
Beliau berkata, pertemuan tersebut memberi peluang kepada USIA untuk membentangkan perkembangan semasa organisasi serta membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan ummah, cadangan kerjasama strategik, permohonan bantuan dan usaha memperkukuhkan sinergi antara USIA dengan Kerajaan Negeri Sabah.
“Delegasi USIA juga berpeluang mendengar pandangan, nasihat serta maklum balas bernas daripada Datuk Seri Masidi Manjun berhubung peranan dan hala tuju USIA dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Dalam sesi taklimat itu, USIA turut membentangkan beberapa projek pembangunan di tanah miliknya yang sedang dilaksanakan, termasuk Projek Plaza Sipadan di Semporna, pembangunan The Play Ground Kota Kinabalu di Sembulan, pembinaan Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA–Al Bukhary di Kota Marudu serta projek menaik taraf Bangunan Lama USIA di Bulatan Sembulan.
Sapawi berkata, projek-projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, dakwah serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas perhatian, keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap USIA.
Katanya, sokongan tersebut menjadi pemangkin penting kepada usaha memperkasakan peranan USIA sebagai sebuah organisasi dakwah, pendidikan dan pembangunan ummah yang terus relevan serta mampu menyumbang kepada kemajuan negeri selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.






