Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Proses pemberian tauliah kepada pendakwah dan pengajar agama di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan penyampaian ilmu agama kepada masyarakat sentiasa berada pada landasan yang betul.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap individu yang ingin mengajar atau menyampaikan dakwah di negeri ini perlu melalui proses tapisan dan penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengajaran agama yang disampaikan kepada masyarakat berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak bercanggah dengan ketetapan agama Islam.
“Tauliah ini wajib dan temuduga untuk itu juga kita laksanakan sebelum mendapat tauliah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Mufti Negeri Sabah sentiasa memantau aktiviti keagamaan termasuk dakwah serta pengajaran agama.
Katanya, pemantauan berterusan dilaksanakan bagi menangani sebarang unsur penyelewengan akidah, ajaran salah atau doktrin palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.
Selain aspek penguatkuasaan, beliau berkata pendekatan berbentuk penerangan dan pendidikan agama turut diberi perhatian melalui pelbagai program dakwah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ajaran Islam sebenar.
“Dari masa ke masa JHEAINS melaksanakan program dakwah memberikan kesedaran, kefahaman dan penghayatan agama yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu berkaitan akidah sentiasa diberi perhatian serius dan pemantauan akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan






