Read Time:1 Minute, 44 Second
Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan pembelajaran serta pembentukan sahsiah murid di sekolah mahupun di luar sekolah.
Ketua Daerah Nabawan, Ulin Datuk Pamiang, berkata ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama serta mengeratkan hubungan silaturahim agar anak-anak sentiasa dipantau bukan sahaja ketika berada di sekolah, tetapi juga di rumah dan di mana sahaja mereka berada.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program “Tinauh” anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom pada Khamis.
Ulin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Nabawan hadir mewakili Ketua Bahagian, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Menurutnya, penganjuran Program “Tinauh” mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti Murut yang dapat bekerjasama dan bersatu melalui kepelbagaian budaya serta adat istiadat.
“Apa yang penting, objektif kita jelas memberi manfaat kepada semua pihak khususnya komuniti sekolah dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau menambah, program sebegini bukan sahaja mengukuhkan perpaduan tetapi juga menjadi medan pertemuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru dan penduduk setempat.
Mengulas mengenai peranan kerajaan negeri terhadap PIBG di seluruh Sabah, Ulin berkata PIBG digalakkan menganjurkan pelbagai program bermanfaat serta boleh memohon bantuan daripada kerajaan negeri bagi menjayakan inisiatif mereka.
Katanya, kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa komited membantu PIBG melalui pelbagai inisiatif pendidikan termasuk bantuan aktiviti PIBG Sabah.
“Kita perlu berterima kasih atas pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam bidang pendidikan. Malah, kerajaan turut mempunyai perancangan terbaik yang dilaksanakan mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau menambah, komitmen kerajaan negeri bukan sahaja tertumpu kepada bidang pendidikan tetapi turut merangkumi aspek pembangunan sosial dan ekonomi demi kesejahteraan penduduk luar bandar.
Dalam pada itu, Ulin turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak anak-anak kerana masa mereka di rumah lebih lama berbanding di sekolah.
Program berkenaan turut diserikan dengan pertandingan keceriaan kelas yang melibatkan penyertaan komuniti termasuk ibu bapa dan guru kelas.
Turut hadir, wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hamzah Junaidi, Guru Besar SK Salarom Usak Anginsu, Yang Dipertua PIBG SK Salarom Anthony Amin, guru besar Zon 3 serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.