Read Time:1 Minute, 38 Second
Oleh Ahmad Husnayan
LAHAD DATU: Kawalan keselamatan perairan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bakal dipertingkatkan dengan penyerahan tiga bot laju jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata penyerahan aset bernilai RM4.497 juta itu adalah sebahagian daripada pelan pengukuhan keselamatan negara di kawasan perairan strategik Sabah Timur.
Menurutnya, dua bot diserahkan kepada PGA manakala satu lagi kepada ESSCOM, bagi memperkukuh rondaan dan keupayaan operasi di kawasan berisiko tinggi.
“Pengoperasian bot-bot ini dijangka mempertingkatkan kehadiran aset keselamatan di lokasi tumpuan seperti Sungai Aji Kuning, Pulau Sebatik dan perairan Tawau.
“Ia juga membolehkan pasukan keselamatan bertindak lebih pantas terhadap sebarang ancaman rentas sempadan, sekali gus memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri ke ESSZone dan Penyerahan Aset Bot Laju (RHIB) di Sapangar Shipyard, di sini, hari ini.
Shamsul Anuar berkata, bot berkenaan dibina oleh Sepanggar Shipyard Sdn. Bhd. dan disiapkan sepenuhnya di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2024.
“Penyerahan aset ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI memperkukuh kesiapsiagaan aset serta meningkatkan keupayaan taktikal pasukan keselamatan,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu turut menyokong perancangan Fasa Kedua ESSCOM, iaitu pengukuhan keselamatan ESS Zone secara menyeluruh bagi mengekalkan ketenteraman di kawasan bersempadan.
Shamsul Anuar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen kerajaan dalam Belanjawan MADANI 2026, termasuk kelulusan pembinaan kuarters tambahan ESSCOM di Lahad Datu bagi meningkatkan kebajikan anggota keselamatan.
Beliau turut mengiktiraf kejayaan ESSCOM yang berjaya mengekalkan rekod sifar insiden penculikan selama hampir enam tahun berturut-turut sejak 15 Januari 2020 hingga kini, hasil operasi bersepadu pelbagai agensi keselamatan.
“Kerajaan amat menghargai pengorbanan barisan hadapan di ESSZone. Usaha dan semangat mereka bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, tetapi turut memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi dan pelancongan di Sabah Timur,” katanya.