Read Time:1 Minute, 59 Second
KOTA KINABALU: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia mengiktiraf komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh kesejahteraan kanak-kanak menerusi pelaksanaan dan penerimaan cadangan yang terkandung dalam Laporan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah 2026 (Sabah Child Wellbeing Index, SCWI).
Wakil UNICEF Malaysia, Robert Gass, berkata pengintegrasian cadangan laporan itu ke dalam perancangan pembangunan negeri mencerminkan tahap akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi dalam usaha memastikan kebajikan serta masa depan kanak-kanak terus diberi keutamaan.
Laporan SCWI 2026 yang dilancarkan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN Sabah) melibatkan 4,441 kanak-kanak dan penjaga mereka di seluruh negeri melalui pendekatan kajian dua fasa.
Fasa pertama dilaksanakan menerusi kaedah pensampelan rawak isi rumah, manakala fasa kedua menggunakan pendekatan pensampelan bertujuan melalui program jangkauan berasaskan komuniti.
Secara keseluruhannya, laporan berkenaan menunjukkan dapatan yang positif dengan menilai kesejahteraan kanak-kanak berdasarkan enam bidang utama menggunakan Kaedah Alkire-Foster (AK Method) dan Analisis Kekurangan Bertindih Pelbagai Dimensi (MODA).
Enam bidang yang dinilai meliputi aspek kesihatan, tumbesaran, pendidikan, peluang bermain dan berehat, hubungan sosial serta penyertaan dalam membuat keputusan, selain keselamatan dan keharmonian persekitaran hidup.
Antara pencapaian utama yang direkodkan ialah 92.3 peratus kanak-kanak di Sabah mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan, manakala 95.6 peratus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan.
Laporan itu turut menunjukkan lebih 99.3 peratus kanak-kanak di Sabah dilindungi daripada perkahwinan kanak-kanak.
Bagaimanapun, kajian berkenaan turut mengenal pasti beberapa cabaran yang memerlukan perhatian segera, khususnya melibatkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan serta kanak-kanak dan keluarga yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut laporan itu, kumpulan berkenaan dikenal pasti sebagai golongan paling terdedah dan secara konsisten mencatatkan tahap kesejahteraan yang lebih rendah berbanding kanak-kanak yang mempunyai dokumentasi lengkap.
Sehubungan itu, UNICEF dan Kerajaan Negeri Sabah telah mengemukakan beberapa cadangan bagi menangani isu-isu berkenaan secara berperingkat dan berterusan.
Dalam perkembangan sama, UPEN Sabah memutuskan untuk mengintegrasikan cadangan tersebut ke dalam kerangka pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan manfaat jangka panjang dapat dinikmati rakyat dan negeri ini.
Langkah itu juga selaras dengan komitmen Malaysia sebagai negara penandatangan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
UNICEF dalam laporannya turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri Sabah mempunyai keupayaan untuk menangani cabaran yang dikenal pasti melalui pendekatan berfasa dan komitmen berterusan demi kesejahteraan semua kanak-kanak di negeri ini.






