KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa daerah di Sabah petang ini, dengan keadaan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga jam 5 petang pada, Rabu.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan Pantai Barat melibatkan Ranau serta Zon Sandakan yang merangkumi Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan.
Menurut agensi itu, amaran berkenaan dikeluarkan susulan petunjuk cuaca yang menunjukkan kemungkinan berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutama mereka yang menjalankan aktiviti luar, berada di kawasan rendah berisiko banjir kilat serta pengguna jalan raya.
Keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat dan angin kencang berpotensi menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian selain meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang dan banjir kilat di kawasan tertentu.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.






