Read Time:1 Minute, 54 Second
PENAMPANG: Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “The Longest Non-Stop Kaamatan Festival” sempena sambutan perayaan itu tahun ini.
Pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai menghargai keunikan Pesta Kaamatan yang berlangsung tanpa henti selama 17 hari, sekali gus menjadikannya sambutan Kaamatan paling lama pernah direkodkan di negara ini.
Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan oleh wakil MBOR, Edwin Yeoh kepada Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, hari kedua kemuncak sambutan Kaamatan menyaksikan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung yang membanjiri pekarangan serta Dewan Hongkod Koisaan KDCA bagi meraikan perayaan kebudayaan terbesar negeri itu.
Majlis penutupan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pairin sebelum disusuli ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Acara kemuncak seterusnya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerusi Lafaz Penangguhan sebagai simbolik penutupan rasmi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026.
Sejurus selepas itu, Tun Musa mengetuai upacara tradisi “Mongomot” iaitu menuai padi serta “Popoo’pi Pa’ai doid Tangkob” yang membawa maksud menyimpan padi ke dalam tangkob sebagai lambang kesyukuran dan penghargaan terhadap hasil tuaian.
Beliau kemudian memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda rasmi berakhirnya sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Majlis diteruskan dengan Upacara Magavau yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bobolian Negeri Sabah sebelum disusuli persembahan koir oleh kumpulan The Male Efficient bersama barisan dif kehormat menerusi lagu ikonik Kaamatan, “Tadau Tagazo Do Kaamatan”.
Para pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisi daripada rumah-rumah warisan Kuala Penyu, Kimaragang, Tuaran dan Tenom selain persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).
Turut mencuri perhatian ialah persembahan Johan Pertandingan Momoroisol (Pidato) Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sabah 2026, Eklesia Dayana Daim serta Johan Sugandoi Songkotoun Kaamatan 2026, Ambrose Poisil.
Suasana di dalam dewan turut bergema dengan sorakan para pengunjung ketika sesi penampilan istimewa 53 finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2026 yang tampil memperagakan keanggunan serta keunikan budaya masing-masing.
Majlis diakhiri dengan lawatan rasmi Tun Musa bersama Hajiji serta tetamu kehormat ke rumah-rumah tradisi etnik di sekitar kawasan KDCA bagi meninjau pameran dan aktiviti kebudayaan yang berlangsung sepanjang pesta berkenaan.






