Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pelancongan wajar diberi perhatian dalam agihan dana interim Sabah

Read Time:2 Minute, 19 Second

TAWAU: Sektor pelancongan perlu diberi perhatian dalam perancangan penggunaan bayaran interim tambahan RM1.5 bilion kepada Sabah kerana industri itu merupakan antara pemacu utama ekonomi serta penyumbang pendapatan negeri.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, walaupun sektor pendidikan dan kesihatan perlu diberikan keutamaan, pelancongan juga memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, rakyat yang sihat dan berpendidikan merupakan asas kepada pembangunan modal insan, namun sektor pelancongan tidak boleh dipinggirkan kerana mampu membawa pulangan ekonomi yang besar kepada negeri dan negara.

“Rakyat yang sihat dan berpendidikan adalah tunjang kepada kemajuan negara. Namun pada masa yang sama, kita juga perlu memahami bahawa pelancongan merupakan salah satu sektor yang membawa pulangan ekonomi kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Festival Likefest Kaamatan 2026 di Kompleks Sukan Tawau, malam tadi.

Menurutnya, sebahagian daripada dana interim yang diterima Sabah wajar disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) bagi membolehkan pelbagai program pembangunan serta promosi pelancongan dilaksanakan.

Katanya, antara fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah menaik taraf infrastruktur pelancongan, memperindahkan taman dan lokasi tumpuan pelawat serta memperkukuh usaha promosi di dalam dan luar negara.

“Kita bukan sahaja perlu memperbaiki infrastruktur, tetapi juga mencantikkan kawasan yang menjadi tarikan pelancong. Selain itu, faktor paling penting untuk menarik pelancong adalah promosi yang berterusan,” katanya.

Beliau berharap dana berkenaan dapat dimanfaatkan untuk memperkasa sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah yang dijadual berlangsung tahun depan.

Mengulas isu capaian internet yang masih perlahan di beberapa kawasan di Sabah, Dr Andi berkata kemudahan komunikasi dan internet yang berkualiti turut penting dalam menyokong perkembangan industri pelancongan serta ekonomi digital negeri.

Bagaimanapun, katanya, usaha meningkatkan kualiti rangkaian internet perlu dirancang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Internet kini sangat penting bagi memastikan negeri kita terus kekal relevan dan maklumat dapat disampaikan dengan pantas kepada masyarakat serta pelancong,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran Festival Likefest Kaamatan 2026 dan program pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Tawau bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, malah menjadi platform menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar Sabah.

Menurutnya, festival itu berjaya menarik kehadiran pengunjung dari Sarawak dan Brunei, selain pelancong yang berada di Semporna sebelum berkunjung ke Tawau untuk menghadiri acara tersebut.

Mengenai potensi kerjasama pelancongan rentas sempadan, beliau berkata Indonesia dan Filipina kekal sebagai antara pasaran sasaran utama berikutan kedudukan kedua-dua negara yang berhampiran dengan Sabah.

“Indonesia dan Filipina merupakan pasaran yang dekat dengan kita. Walaupun terdapat cabaran akibat ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, KEPKAS akan terus berusaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Sabah,” katanya.

Beliau yakin usaha promosi yang lebih agresif serta penambahbaikan kemudahan pelancongan mampu meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.

LEAVE A RESPONSE