Read Time:4 Minute, 4 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
Sabah berjaya melangkah ke depan di dalam tekad menuntut hak yang sudah tertunggak lebih separuh abad, merentasi generasi ke generasi. Namun begitu, rakyat Sabah masih perlu menunggu lagi bagi memperolehi penyelesaian jangka panjang yang bersandarkan prinsip not a penny more, not a penny less.
Semalam , semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa pembayaran Geran Khas kepada Sabah dinaikkan kepada RM 1.5 bilion, sementara menunggu pemuktamadan kaedah pelaksanaan Geran Khas Tahunan 40%.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia terhadap tuntutan hak Sabah berkenaan, dan sedang memperhalusi mekanisme terbaik agar tuntutan berkenaan boleh dilaksanakan secara menyeluruh dan berlandaskan peruntukan perundangan.
Fakta menarik. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan sebanyak dua-perlima (40%) daripada kutipan hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Malaysia daripada Sabah. Peruntukan Ini telah dipersetujui menerusi Perjanjian Malaysia 1963 atau Malaysia Agreement 1963 (MA63), semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Persetujuan ini dimaktubkan di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin rakyat Sabah berhak terhadap hasil kekayaan Sabah.
Malangnya, sejak tahun 1973, Kerajaan Malaysia didakwa telah gagal membayar sepenuhnya Geran Khas Tahunan tersebut kepada Sabah. Sepanjang tempoh masa lebih 50 tahun, Sabah hanya menerima sebahagian kecil sahaja jumlah Geran Khas Tahunan tersebut.
Sehingga tahun 2020, jumlah Geran Khas Tahunan yang di terima oleh Sabah hanyalah RM 53.4 juta. Selepas itu, hasil kegigihan Kerajaan Sabah memperjuangkan hak ini, jumlah Geran Khas Tahunan telah melonjak dengan mendadak. Dalam tempoh masa 6 tahun (2020 – 2026), jumlah Geran Khas Tahunan telah melonjak berlipat kali ganda, daripada RM 53.4 juta kepada RM 1.5 bilion.
| Tahun | 2020 | 2022 | 2023 | 2024 | 2025 | 2026 |
| Jumlah Geran | RM 53.4 juta | RM 125.6 juta | RM 260 juta | RM 300 juta | RM 600 juta | RM 1.5 bilion |
Sementara itu, oleh kerana kecewa dengan perkembangan yang sangat perlahan, Sabah Law Society (SLS) telah mengemukakan permohonan semakan kehakiman di mahkamah pada bulan Jun 2022, berkaitan pembayaran Geran Khas Tahunan berkenaan. Setelah 3 tahun, pada bulan Oktober 2025, SLS meraih kejayaan dengan mahkamah membenarkan semakan kehakiman tersebut.
Secara ringkasnya, mahkamah memutuskan:
Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah mengadakan semakan bersama, bagi setiap tahun kewangan berturut-turut daripada tahun 1974 hingga 2021
semakan bersama mesti di lakukan dalam tempoh masa 90 hari, dan persetujuan dicapai dalam tempoh masa 180 hari daripada tarikh perintah mahkamah. Ini bermakna persetujuan bersama mesti dicapai menjelang bulan April 2026.
Sejurus perintah mahkamah itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan, melibatkan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah. Ianya berperanan untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan tuntutan hak Sabah berkenaan, dan seterusnya mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63) serta kepada Jemaah Menteri Malaysia.
Manakala, pada penghujung bulan Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Dashboard MA63, iaitu satu platform yang menyediakan maklumat terkini status rundingan, penyelesaian dan pelaksanaan perkara-perkara berbangkit di bawah MA63 dengan mudah dan tepat.
Ketika itu, Dashboard MA63 menunjukkan 13 daripada 29 keseluruhan perkara berbangkit di bawah MA63 telah berjaya diselesaikan, antaranya:
- pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 dan melantik wakil Kerajaan Sabah sebagai Anggota Tetap LHDN, pada tahun 2023
- penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, pada tahun 2023
- penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity kepada Kerajaan Sabah, pada tahun 2024
- pindaan Ordinan Buruh Sabah, pada tahun 2025
Sebenarnya, pembayaran RM 1.5 bilion tersebut masih belum mencukupi bagi memenuhi sepenuhnya tuntutan Geran Khas Tahunan 40%. Pada bulan Ogos 2024, Perdana Menteri Malaysia dilaporkan berkata Kerajaan Malaysia telah mengutip hasil sebanyak RM 10.2 bilion daripada Sabah pada tahun 2023. Antara lain, jumlah ini merangkumi kutipan cukai dan lain-lain pendapatan:
- RM 7.2 bilion: kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
- RM 700 juta: duti kastam dan eksais
- RM 1.7 bilion: pembayaran petroleum
Maka, berdasarkan jumlah kutipan hasil RM 10.2 bilion ini, Sabah berhak menerima RM 4.08 bilion sebagai Geran Khas Tahunan 40%. Ini bermakna pembayaran RM 1.5 bilion masih jauh tersasar dan hanya mewakili sekitar 37% daripada pembayaran hak penuh RM 4.08 bilion.
Selain itu, dengan pertumbuhan ekonomi Sabah, hasil kutipan oleh Kerajaan Malaysia daripada Sabah sudah tentu telah meningkat sejak itu. Seiringan jumlah Geran Khas Tahunan 40% sewajarnya turut meningkat.
Malah, ada pihak berpendapat angka RM 10.2 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia tidak merangkumi keseluruhan kutipan hasil daripada Sabah. Pihak ini berpendapat hasil yang dikutip oleh Kerajaan Malaysia daripada Sabah sebenarnya adalah lebih besar, selaras dengan aspirasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.
Oleh kerana itu, semakan yang diarahkan oleh mahkamah berkaitan nilai terbabit daripada tahun 1974 hingga 2021 akan mengambil masa dan melengahkan pemuktamadan penyelesaian yang wajar kepada rakyat Sabah, dan boleh merawat dukacita serta sengsara yang sudah lama berlanjutan.
Sudah sekian lama rakyat Sabah merana tanpa menerima sepenuhnya hak yang dijanjikan. Dengan pembayaran Geran yang lebih besar, agenda pembangunan ekonomi dan sosial Sabah dapat diperkasa bagi memberi kesejahteraan hidup kepada rakyat Sabah.






