Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Inovasi dan kreativiti digital pelajar UMS diiktiraf di ILEIC 2025

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU:Seramai 63 pelajar Tahun 3 Program Teaching English as a Second Language (TESL) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya meraih lapan pingat perak dan tiga gangsa dalam pertandingan antarabangsa International Language and Education Invention and Innovation Virtual Competition (ILEIC 2025), baru-baru ini.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka dengan kerjasama UMS dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan strategik.

Sebanyak 11 kumpulan pelajar TESL FPPS telah menyertai pertandingan dengan menampilkan pelbagai inovasi berasaskan teknologi dan pedagogi bahasa yang kreatif serta berimpak tinggi.

Antara projek yang dipersembahkan ialah pengintegrasian aplikasi pendidikan digital seperti Genially, Discord, Canva, Wordwall, Padlet dan Augmented Reality (AR) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Ketua projek, Dr. Noraini Said berkata penyertaan tersebut menjadi platform penting bagi memperlihatkan kebolehan dan kreativiti pelajar TESL dalam menghasilkan bahan digital serta inovasi pendidikan.

“Penyertaan dalam ILEIC 2025 bertujuan memperkasakan bakat digital pelajar serta meningkatkan kesedaran terhadap perubahan landskap pendidikan yang semakin berasaskan teknologi.

“Kami berbangga dengan komitmen dan semangat pelajar yang berjaya mengharumkan nama fakulti di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPPS, Prof. Madya Dr. Rozilee Wazir Norjali Wazir menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti kemampuan pelajar FPPS bersaing di peringkat global melalui penguasaan kemahiran digital dan inovasi dalam bidang bahasa.

“Kejayaan ini menyerlahkan potensi pelajar FPPS bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga sebagai duta universiti yang mampu menonjol di persada antarabangsa.

“Ia selari dengan aspirasi UMS untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing global.

“Kejayaan pelajar ini turut mencerminkan keberkesanan pendekatan pengajaran TESL FPPS yang menekankan teknologi digital, kreativiti dan pemikiran inovatif, sekali gus menyokong agenda pengantarabangsaan dan pembangunan bakat digital universiti,” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE