Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hampir 1,000 pelancong disambut sempena Kaamatan di KKIA

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Hampir 1,000 pelancong disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sempena sambutan Pesta Kaamatan, dalam usaha memperkenalkan keunikan budaya Sabah kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan pelancongan budaya sempena musim perayaan.

Sambutan yang dianjurkan Tourism Malaysia itu turut mendapat kerjasama Sabah Tourism Board (STB) serta pihak pengurusan KKIA.

“Pada hari ini, kira-kira lebih 900 pelancong telah dan akan diraikan melalui program ini. Penerbangan ke Sabah juga akan terus tiba sehingga lewat malam termasuk penerbangan antarabangsa yang membawa lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis itu pada Sabtu.

Menurut beliau, para pelancong yang tiba bukan sahaja berpeluang menikmati suasana perayaan Kaamatan sejak di pintu masuk utama negeri, malah turut diperkenalkan dengan budaya dan tradisi masyarakat tempatan melalui persembahan kebudayaan yang disediakan.

Katanya, sebahagian besar pelancong yang datang ke Sabah ketika ini mempunyai pelbagai jadual lawatan termasuk mengunjungi lokasi pelancongan terkenal dan menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

“Ada pelancong yang datang khas untuk melihat sendiri bagaimana sambutan Kaamatan diraikan oleh masyarakat Sabah.

“Mereka bukan sahaja melawat destinasi pelancongan tetapi juga mahu mengenali budaya dan tradisi tempatan dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata, program sambutan pelancong sempena Kaamatan merupakan antara inisiatif tahunan Tourism Malaysia bagi memeriahkan ketibaan pelancong ketika musim perayaan utama negara.

Selain di Kota Kinabalu, program serupa turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena sambutan Kaamatan dan Gawai, manakala satu lagi sambutan dijadual berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1 Jun sempena Hari Gawai.

Mohd Amirul berkata, program berkenaan memberi impak positif kepada pelancong kerana membantu mereka memahami budaya dan perayaan yang diraikan di Malaysia.

“Ramai pelancong yang pada mulanya tidak mengetahui mengenai Kaamatan, tetapi selepas melihat sambutan yang diadakan mereka mula bertanya dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perayaan ini.

“Secara tidak langsung ia membantu mempromosikan budaya Sabah serta meningkatkan pengalaman pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, peningkatan jumlah ketibaan pelancong sempena Kaamatan turut memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, termasuk industri penginapan, pengangkutan, makanan serta perusahaan kecil dan sederhana yang berkaitan.

LEAVE A RESPONSE