KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memberikan penjelasan terperinci mengenai tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah sewaktu lawatan kerja beliau ke negeri itu, esok.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang membangkitkan perkara berkaitan hak 40 peratus bagi Sabah.
“Itu (isu 40 peratus) saya akan jelaskan esok di Sabah. Saya akan ke Sabah esok,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah di sini.
Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk memperbetul pendirian rasmi pentadbiran terdahulu, termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.
Armizan berkata, komitmen itu selaras dengan pendirian Anwar yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.






