Read Time:2 Minute, 13 Second
SEPANG — Seorang doktor dari Hospital Tawau yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berkata pengalaman berdepan tindakan keras ketika pelayaran solidariti ke Gaza membuka matanya mengenai penderitaan sebenar rakyat Palestin yang telah lama berdepan penindasan dan kekejaman.
Dr Jihan Aliya berkata delegasi Malaysia yang menyertai misi itu turut menjadi saksi kepada tindakan agresif terhadap aktivis tidak bersenjata ketika kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa.
“Kami dilayan secara brutal, namun apa yang kami lalui ini masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang telah bertahun-tahun berdepan kekejaman,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan 28 delegasi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi.
Penerbangan Emirates Airlines yang membawa kumpulan aktivis berkenaan selamat mendarat kira-kira pukul 9.30 malam sebelum mereka disambut ahli keluarga, rakan-rakan serta penyokong perjuangan Palestin.
Dr Jihan berkata beliau bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada pasukan perubatan dalam misi berkenaan bersama aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara dalam usaha memecahkan kepungan serta membuka laluan bantuan ke Gaza.
Turut berkongsi pengalaman ialah Kapten S. Patmanathan atau Kapten Siva yang menyifatkan sokongan rakyat Malaysia sebagai kekuatan utama kepada delegasi misi tersebut.
Beliau berkata pengalaman dilalui sepanjang pelayaran masih terlalu kecil berbanding penderitaan sebenar rakyat Palestin di Gaza selain menyeru rakyat Malaysia terus mengekalkan solidariti terhadap perjuangan Palestin.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan seorang lagi peserta misi, Razman Mat Ali, tidak dibenarkan menaiki pesawat pulang ke Malaysia selepas mengalami Traumatic Pneumothorax atau paru-paru bocor.
Menurut beliau, doktor memberi amaran bahawa tekanan udara dalam penerbangan boleh menyebabkan keadaan Razman menjadi lebih kritikal dan berisiko membawa maut.
“Beliau tidak boleh terbang kerana tekanan dalam kapal terbang boleh menyebabkan kecederaan beliau bertambah buruk dan doktor memaklumkan ia boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan kepulangan delegasi GSF 2.0 di KLIA malam tadi.
Sani Araby berkata Razman turut berada dalam keadaan berisiko tinggi mendapat jangkitan susulan kecederaan dialami selain baru selesai menjalani pembedahan.
Beliau berkata pasukan perundangan misi turut dihantar segera ke hospital bagi mengambil rakaman dan keterangan daripada Razman untuk dijadikan bahan bukti dalam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.
“Beliau sedang dirawat selepas pembedahan apabila dua wakil legal team dihantar untuk mengambil rakaman bukti,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan Turki turut memberi jaminan akan menjaga Razman sepanjang menerima rawatan di negara itu selain wakil Malaysia sentiasa berada bersama mangsa.
Sani Araby turut mendakwa semua delegasi berdepan layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang ditahan ketika misi kemanusiaan berkenaan.
Terdahulu, Razman merupakan antara 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum pelayaran itu dipintas pihak Israel.






