Read Time:3 Minute, 47 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
Mata pelajaran Matematik masih menggerunkan dan menjadi mimpi ngeri di dalam perjalanan pendidikan ramai pelajar di seluruh negara.
Beberapa hari lepas, media New Straits Times menonjolkan cerita mengenai seorang Pengetua sekolah yang telah menduduki kertas Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih 20 kali, sejak tahun 2011.
Tujuan beliau sedemikian ialah bagi memahami perubahan silabus, format terkini peperiksaan dan teknik menjawab soalan. Serta dapat memahami cabaran, tekanan dan pengalaman yang ditempuhi oleh pelajar. Dengan itu, beliau boleh membantu dan mendorong pelajar secara lebih berkesan.
Mengikut rekod, beliau telah mencapai gred A dan A+ bagi mata pelajaran SPM Matematik sepanjang tempoh tersebut.
Dedikasi beliau terserlah tatkala meraikan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 (SPM 2025) yang memberangsangkan, puluhan ribu pelajar di seluruh negara berdepan dengan dukacita.
Pada penghujung bulan Mac 2026, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pencapaian terbaik peperiksaan SPM 2025, sejak peperiksaan SPM menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai tahun 2021.
Antara lain, pencapaian SPM 2025 tersebut menonjolkan:
- Gred Purata Kebangsaan (GPK): bertambah baik daripada 4.49 (2024) kepada 4.42 (2025)
- 13,779 calon memperolehi keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran
- 376 calon memperolehi keputusan semua Gred A+, meningkat daripada 352 calon (2024)
- jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar semakin mengecil, di mana GPK calon bandar (4.40) berbanding GPK calon luar bandar (4.81)
Namun begitu, pencapaian SPM 2025 yang memberangsangkan tersebut terus dibayangi oleh prestasi buruk mata pelajaran Matematik. Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 yang baru diterbitkan oleh KPM dua minggu lepas, 21.7% calon telah memperolehi gred Gagal bagi mata pelajaran Matematik.
Peratusan besar ini bermaksud, bagi setiap lima calon, satu calon telah gagal. Dengan jumlah 385,118 calon yang menduduki kertas Matematik, ini bermakna lebih 83,000 calon telah gagal.
Lebih membimbangkan, jika dicampur keseluruhan calon yang lemah Matematik (iaitu Gred D, E dan G), peratusannya mencecah 48.4%. Dengan hampir separuh calon SPM tidak berjaya memiliki tahap penguasaan Matematik yang tinggi, ini menggambarkan pembelajaran sebelas tahun peringkat rendah dan menengah tidak membuahkan hasil yang sepatutnya.
PRESTASI SEMAKIN JATUH
Prestasi buruk Matematik bukanlah satu isu baru, tetapi telah berlanjutan untuk tempoh yang lama. Sepanjang tahun 2017 – 2021, peratusan Gagal telah melonjak daripada 17.6% kepada 25.5%. Sejak itu, peratusan Gagal telah merekodkan trend penurunan yang konsisten.
Walaupun telah menurun, peratusan dan jumlah calon Gagal masih besar. Malah, dalam tempoh masa 9 tahun (2017 – 2025), lebih 715,000 calon telah gagal SPM Matematik. Di manakah mereka sekarang?
Bagi peperiksaan SPM, Matematik merupakan salah satu daripada tujuh mata pelajaran teras, bersama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Sebagai perbandingan, bagi SPM 2025, peratusan Gagal bagi lain-lain mata pelajaran teras adalah: Bahasa Melayu (2.2%), Bahasa Inggeris (9.7%), Sejarah (5.0%), Sains (7.0%), Pendidikan Islam (5.8%), Pendidikan Moral (21.0%).
Kecuali Pendidikan Moral, jurang peratusan Gagal Matematik adalah begitu ketara berbanding lain-lain mata pelajaran teras. Maka, situasi ini menimbulkan persoalan: kenapa ianya berlaku tahun demi tahun? Sehinggakan mencetus keresahan ibu bapa dan pelajar.
Agaknya, jika Matematik bukanlah salah satu mata pelajaran teras, kemungkinan besar ramai pelajar tidak akan mengambil Matematik yang dilihat sangat sukar untuk mencapai gred yang memuaskan. Yang mana akhirnya mencacatkan penampilan Sijil SPM pelajar.
| Tahun SPM | Jumlah Calon Matematik | Peratusan Calon Gred Gagal (%) | Peratusan Calon Gred D & E (%) | Peratusan Calon Gred D, E, Gagal (%) |
| 2025 | 385,118 | 21.7 | 26.7 | 48.4 |
| 2024 | 375,115 | 22.4 | 28.1 | 50.5 |
| 2023 | 369,425 | 23.2 | 28.9 | 52.1 |
| 2022 | 369,348 | 24.3 | 29.0 | 53.3 |
| 2021 | 375,997 | 25.5 | 29.6 | 55.1 |
| 2020 | 378,158 | 17.4 | 26.0 | 43.4 |
| 2019 | 386,010 | 18.6 | 26.1 | 44.7 |
| 2018 | 388,742 | 18.0 | 25.9 | 43.9 |
| 2017 | 411,221 | 17.6 | 25.7 | 43.3 |
Malangnya, KPM tidak pula menyediakan analisis yang lebih terperinci bagi memahami dan mendalami isu kegagalan Matematik ini. Banyak persoalan kekal tidak terjawab, termasuklah:
- peratusan Gagal di bandar dan luar bandar
- peratusan Gagal bagi setiap negeri dan wilayah
- peratusan Gagal pelajar lelaki dan wanita
Justeru itu, KPM wajar lebih telus dan terbuka dengan menyediakan analisis yang menyeluruh untuk makluman umum. Rakyat berhak tahu, lebih-lebih lagi memandangkan SPM adalah satu-satunya peperiksaan nasional yang ada masa kini, setelah pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Sekiranya isu ini terus berpanjangan, bukan sahaja agenda pembangunan negara bakal terjejas. Bahkan masa depan ramai bakat muda negara turut terjejas. Sehingga itu, ibu bapa dan pelajar terpaksa lah bersedia masa dan wang untuk kelas tambahan Matematik. Di dalam kemelut ini, ada juga pihak yang beroleh keuntungan…






