Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan tambah baik pelaksanaan SKDS


Read Time:2 Minute, 59 Second

KUNDASANG: Kerajaan terus komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api meskipun berdepan tekanan akibat konflik Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga serta lonjakan harga minyak global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan mendadak kos subsidi bahan api memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

Katanya, sebelum tercetusnya konflik, subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026.

“Namun sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu, implikasi subsidi petrol dan diesel melonjak kepada RM5.67 bilion bagi Mac 2026, iaitu peningkatan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Jumlah itu belum termasuk subsidi bahan api lain dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi selagi harga minyak dunia kekal tinggi serta krisis tenaga berlarutan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai strategi penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar merentasi kementerian serta agensi bagi menangani kesan krisis tenaga dan bekalan global terhadap rakyat.

Di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kerajaan memutuskan untuk meneruskan penyaluran subsidi petrol dan diesel melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS.

Sehingga 20 Mei 2026, sebanyak 179,716 syarikat membabitkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan menikmati manfaat SKPS, manakala 160,527 syarikat melibatkan 393,678 kenderaan menerima subsidi melalui SKDS.

Armizan berkata, susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lalu, kerajaan bersetuju menambah baik mekanisme pelaksanaan SKDS melalui beberapa keputusan baharu.

Antaranya ialah peluasan kelayakan kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara, berbanding hanya di Cameron Highlands sebelum ini.

“Berkuat kuasa 1 Jun 2026, syarikat sektor pengangkutan darat barangan yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh membuat pendaftaran SKDS,” katanya.

Beliau berkata, manfaat subsidi diesel turut diperluaskan kepada kenderaan jip dan pikap yang digunakan bagi tujuan pengangkutan darat barangan walaupun sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan pertukaran hak milik kepada syarikat.

Katanya, individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan untuk mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.

“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan mengikut 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

“Penetapan had kuota dibuat berdasarkan analisis penggunaan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS dan kadar baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026,” katanya.

Menurut beliau, syarikat yang memerlukan kuota tambahan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setia oleh KPDN.

Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel [email protected] atau di kaunter KPDN berhampiran.

Katanya, pertimbangan rayuan akan dibuat berdasarkan keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS.

Pada masa sama, Armizan menggalakkan syarikat yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel supaya segera mendaftar di bawah SKPS dan SKDS melalui portal MySubsidi.

Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang telah berdaftar agar bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang dibekalkan syarikat minyak.

“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam,” katanya.

LEAVE A RESPONSE