Read Time:1 Minute, 29 Second
TENOM: Seramai 160 belia menyertai Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai peluang dalam sektor pertanian moden, khususnya di kawasan pedalaman.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Jamawi Jaafar berkata, program selama tiga hari dua malam itu memberi fokus kepada penglibatan belia dan warga sekolah menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pertanian serta pembangunan kemahiran.
Beliau berkata, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pendedahan berkaitan pertanian moden, selain membuka peluang kerjaya dan latihan kepada golongan muda dalam bidang tersebut.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah atas penganjuran program ini, khususnya untuk belia di kawasan Melalap.
“Latihan yang dijalankan melibatkan kerjasama Pusat Latihan Pertanian dan GIATMARA Tenom, iaitu satu-satunya institusi di Sabah yang menawarkan latihan teknologi pertanian berasaskan mekanisasi selama enam bulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan program itu, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, selain latihan di ladang, peserta turut didedahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti dron dalam sektor pertanian.
“Di Pusat Latihan Pertanian, peserta diajar bagaimana menjadi petani yang berdaya saing dan memiliki idea baharu, sekali gus menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang ini pada masa hadapan,” katanya.
Jamawi berkata, peserta juga diberikan pendedahan dalam penghasilan kopi berkualiti tinggi selaras dengan reputasi Tenom sebagai pengeluar kopi terkenal di Sabah.
“Hari ini masih ada kumpulan yang menjalani latihan menghasilkan kopi terbaik. Pendedahan seperti ini penting bagi melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam industri kopi tempatan.
“Program ini membuktikan peranan kementerian bukan sahaja tertumpu kepada sukan, tetapi turut membantu membangunkan ekonomi belia melalui sektor pertanian,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi membuka minda golongan muda untuk melihat pertanian sebagai kerjaya yang berpotensi serta berdaya maju.






