Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Yayasan Sabah perkasa komuniti luar bandar melalui Jerayawara YSBR 2025

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA MARUDU : Yayasan Sabah meneruskan komitmen mendekati rakyat melalui Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025, yang akan berlangsung di Astaka Padang Komuniti Kota Marudu esok.

Program peringkat Zon Pantai Barat Utara itu menjadi platform penting bagi masyarakat luar bandar mendapatkan maklumat secara terus mengenai bantuan pendidikan, peluang keusahawanan, dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat, selaras dengan misi Yayasan Sabah untuk memperkasa komuniti di seluruh negeri.

Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar

“Melalui jerayawara ini, rakyat dapat berurusan terus dengan agensi kerajaan di bawah satu bumbung, selain memperoleh maklumat pantas dan tepat tentang pelbagai bentuk bantuan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Antara pengisian utama ialah Taklimat Bantuan Pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah dan Taklimat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran.

Gulamhaidar berkata, Yayasan Sabah turut menawarkan Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus iaitu potongan khas sebanyak 30 peratus kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Kumpulan Yayasan Sabah yang membuat bayaran penuh sebelum 31 Disember 2025.

“Inisiatif rebat ini adalah galakan kepada peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka sambil meringankan beban kewangan. 

“Kami juga akan membantu mereka memahami proses pembayaran melalui khidmat nasihat langsung di tapak jerayawara,” katanya.

Selain pameran dan taklimat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan ceramah bertajuk “Buli Bukan Budaya Kita” bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan sosial dan kesejahteraan komuniti.

Tidak ketinggalan, Pusat Kraftangan Sabah di bawah Kumpulan Yayasan Sabah turut akan menyampaikan Anugerah Pengusaha Kraftangan Berpotensi sebagai pengiktirafan kepada pengusaha kraf tempatan yang menunjukkan bakat dan komitmen tinggi.

Sebagai tambahan, lima usahawan muda tempatan akan menerima Geran Dana Mula Niaga Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah 2025, yang disediakan sebagai modal permulaan untuk memperkukuh aktiviti keusahawanan di peringkat akar umbi.

Program sehari penuh ini bermula seawal jam 7.00 pagi dan dijangka menarik kehadiran besar masyarakat sekitar. 

Turut serta dalam pameran ialah University College Sabah Foundation (UCSF), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, orang ramai turut berpeluang menikmati saringan kesihatan, pemeriksaan mata dan gigi secara percuma, program derma darah, serta pelbagai aktiviti santai dan jualan RAHMAH MADANI.

“Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Kami menggalakkan orang ramai hadir awal dan membawa keluarga bagi menikmati pelbagai manfaat yang disediakan,” katanya.

Jerayawara YSBR 2025 di Kota Marudu ini menjadi bukti komitmen Yayasan Sabah dalam merealisasikan aspirasi pembangunan sosial dan ekonomi rakyat Sabah, selaras dengan agenda memperkasa komuniti negeri ke arah masa depan yang lebih makmur. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE