Read Time:1 Minute, 11 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan–Maliau Basin, sejak petang Selasa lalu.
Mangsa berusia 31 tahun itu dikatakan hilang selepas berpisah dengan sepupunya ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkemahan selepas aktiviti memancing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 pagi tadi sebelum menghantar pasukan ke lokasi bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Siasatan awal mendapati sepupu mangsa membuat laporan polis pada jam 8.55 malam semalam selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak 14 Oktober lalu.
“Sepupu mangsa cuba menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp namun mangsa memaklumkan bateri telefon hampir habis dan selepas itu gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepupu mangsa turut menjalankan pencarian awal pada hari kejadian namun usaha itu tidak berhasil berikutan keadaan cuaca hujan.
Jelasnya, operasi SAR hari pertama membabitkan sepasukan anggota bomba, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan penyelamat menyusuri denai sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan tempat letak kereta menuju ke Base Camp melalui kawasan air terjun sebelum mendaki ke puncak bukit dan menuruni ke kawasan sungai sebelum kembali ke titik permulaan.
“Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 3 petang selepas mangsa masih belum ditemukan. Pencarian akan disambung semula esok pagi,” katanya.