Read Time:1 Minute, 40 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Perbicaraan kes melibatkan lima remaja yang didakwa mencela Zara Qairina Mahathir akan berlangsung pada 8 hingga 19 Disember ini seperti dijadualkan.
“Pengurusan kes telah selesai. Perbicaraan yang ditetapkan pada 8 hingga 19 Disember akan diteruskan seperti yang dijadualkan,” kata Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah Negeri Sabah, Cindy McJuce Balitus, secara ringkas.
Cindy berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes lima remaja yang ditetapkan untuk sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM) hari ini.
Prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak dijalankan secara tertutup dengan hanya pihak-pihak berkaitan sahaja dibenarkan hadir.
Memandangkan terdapat perintah larangan penyiaran (gag order) bagi kes ini, media hanya akan menerima maklumat perkembangan prosiding melalui pegawai mahkamah.
Pada 20 Ogos lalu, kesemua lima tertuduh, yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencela Zara.
Kelima-lima tertuduh didakwa mencapai niat bersama menggunakan perkataan mencela terhadap Zara yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan Zara berasa terganggu dengan perkataan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Julai lalu di antara jam lebih kurang 10 malam sehingga 11 malam.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan RM1,000 perlu didepositkan bersama seorang penjamin tempatan.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nor Azizah Mohamad.
Salah seorang tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, dan Prem Elmer Ganasan. Manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh, dan Sylyester Kuan.
Sabah Law Society (SLS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hadir sebagai peguam pemerhati.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah pada 16 Julai di Papar, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/09/25/suhakam-dibenar-jadi-peguam-pemerhati-dalam-kes-lima-remaja-mencela-zara/