Read Time:1 Minute, 3 Second
SEMPORNA: Sebanyak 450 liter minyak petrol, sebuah bot kayu berwarna biru putih serta enjin sangkut dirampas di perairan Kg Labuan Haji, di sini.
Rampasan tersebut diserahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna oleh Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan lanjut.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan berkata, rampasan tanpa tuan itu dilakukan pada 29 April lalu kira-kira jam 6.40 petang.
“Rampasan tersebut melibatkan 450 liter minyak petrol, sebuah bot kayu berwarna biru putih serta sebuah enjin sangkut jenama Tohatsu 50HP dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2,786.50,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN Semporna telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN memberikan amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta ringgit bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi Syarikat, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebarang aduan dan pertanyaan boleh dibuat melalui saluran rasmi KPDN.






