Read Time:1 Minute, 57 Second
Oleh Raul G
KIULU: Pelancaran Pusat Maklumat Pelancongan Nabalu hari ini, memberi rangsangan baharu kepada pelancongan luar bandar di Sabah bagi mengukuhkan hubungan antara destinasi utama seperti Kiulu, Kadamaian di Kota Belud dan Kundasang, Ranau.
Terletak kedudukan strategik di laluan ke tanah tinggi Kundasang, pusat terbabit berfungsi sebagai persinggahan yang memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan produk pelancongan luar bandar dan pengalaman komuniti setempat.
Difahamkan, ia adalah pusat maklumat kedua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, selepas pusat maklumat pertama di Pekan Kiulu.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pusat maklumat baharu itu adalah sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan pelancongan luar bandar dengan cara inklusif dan mampan.
“Kebanyakan pengembara singgah di Pekan Nabalu dalam perjalanan ke Kadamaian dan Kundasang, tetapi tidak semua mereka menyedari terdapat banyak lagi kawasan berhampiran untuk diterokai.
“Pusat ini akan membantu menghubungkan mereka menemukan perkampungan terpencil, makanan tempatan dan kepelbagaian budaya sambil menyokong penduduk setempat, katanya pada majlis pelancaran berkenaan.
Menurut statistik yang diberikan oleh STB, sektor pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) menunjukkan pertumbuhan yang stabil.
Pada tahun 2023, pelancongan berasaskan komuniti menjana pendapatan sebanyak RM6.66 juta, meningkat kepada RM7 juta pada tahun 2024.
Kehadiran pelancong meningkat daripada 300,000 kepada 310,000, manakala peluang pekerjaan meningkat daripada 755 kepada 850 merentasi 85 tarikan CoBT di 18 daerah di seluruh negeri.
Joniston mengulas lanjut, angka itu mungkin lebih tinggi dengan pengumpulan data yang lebih baik, apatah lagi pembangunan pusat maklumat yang menyokong usaha berterusan STB untuk mengukuhkan pembangunan pelancongan luar bandar.
“Sebagai contoh, Kiulu berfungsi sebagai tapak perintis kami untuk mendigitalkan data pelancongan luar bandar, yang membolehkan kami menjejaki trend pelancong dan mengukur impak ekonomi lebih tepat.
”STB juga merancang untuk mengembangkan sistem digital ke destinasi luar bandar lain di seluruh Sabah untuk memastikan perancangan yang lebih berkesan dan pertumbuhan yang berdaya saing,” katanya.
Sebagai perintis pendigitalan pelancongan luar bandar, Kiulu merekodkan 22,029 kehadiran pelawat dengan hasil pelancongan sebanyak RM616,382 antara Januari sehingga Oktober 2025.
Joniston turut menekankan dorongan STB untuk mengintegrasikan pertanian dan pelancongan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan luar bandar yang lebih luas.
Sehingga kini, sebanyak 51 produk agropelancongan di seluruh Sabah dikenal pasti dan dipromosikan.
Turut hadir pada majlis pelancaran, Pengurus Kanan Bahagian Produk STB, Effendi Mahany; Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Meijin Maginggow; Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian, Walter Kandayon dan Presiden Persatuan Pelancongan Nabalu, Michael Liman.