Read Time:2 Minute, 19 Second
BANDAU: Pendirian Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bandau, Ardino Diris, untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bukan keputusan peribadi, sebaliknya hasil muafakat akar umbi parti di kawasan itu.
Ketua Penerangan STAR Bahagian Bandau, Felix Kain, berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh bersama pemimpin di semua peringkat melibatkan 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta lebih 50 Jawatankuasa Pemimpin Komuniti (JPK) di kawasan itu.
“Ketua Bahagian tidak bertindak sendirian. Beliau mendengar dan menghormati suara ramai kerana kepimpinan yang baik berpaksikan pandangan akar umbi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas dakwaan Timbalan Ketua Bahagian mengenai jumlah PDM dan keahlian aktif, Felix berkata semangat dan usaha yang ditunjukkan dalam menggerakkan parti amat dihargai, namun setiap aktiviti dan laporan rasmi perlu disalurkan melalui Pejabat Bahagian.
Beliau menjelaskan, berdasarkan laporan Setiausaha Bahagian, wujud gerakan tertentu yang tidak dimaklumkan secara rasmi sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat dua kumpulan kepimpinan dalam Bahagian Bandau.
“Saya pernah mengingatkan rakan-rakan AJK, janganlah kita undi Ketua Bahagian kemudian meninggalkan beliau. Ibarat menanam benih tetapi tidak menyiramnya. Malangnya, apa yang dirisaukan dahulu kini benar-benar berlaku,” ujarnya.
Felix berkata, keputusan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, tetap dihormati dan diterima sebagai arahan parti, namun beliau yakin Presiden memahami tindakan Ketua Bahagian yang berpaksikan suara majoriti akar umbi.
“Presiden kita seorang pemimpin yang rasional dan sentiasa mendengar pandangan di bawah. Ketua Bahagian tidak melawan, sebaliknya menyuarakan kehendak ramai yang mahu terus bersama GRS,” katanya.
Beliau menolak dakwaan bahawa tindakan Ketua Bahagian itu bertujuan memecahbelahkan parti, sebaliknya menegaskan perbezaan pendapat adalah lumrah dalam perjuangan politik.
“Pandangan bahawa mereka yang tidak sehaluan wajar berundur boleh diterima, namun menyerahkan jawatan adalah hak individu dan tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.
Felix turut menjelaskan bahawa ketidakhadiran Ketua Bahagian dalam program bersama Presiden pada 19 September lalu berpunca daripada kekeliruan jadual.
Katanya, Mesyuarat Bahagian pada 17 Ogos 2025 telah memutuskan agar program bersama Presiden diadakan sekitar awal Oktober, namun tarikh sebenar belum dimuktamadkan ketika itu.
“Program 19 September itu diatur tanpa pengetahuan rasmi Bahagian. SUB Bahagian hanya menerima makluman sehari sebelum program berlangsung, sedangkan Ketua Bahagian telah dijadualkan menghadiri program di PDM Panaitan. Ini bukan disengajakan, hanya kekeliruan penyelarasan,” jelasnya.
Felix turut mendedahkan terdapat aktiviti parti yang dijalankan tanpa pengetahuan Bahagian, termasuk penghantaran borang keahlian atas nama individu yang telah meninggal dunia serta pelantikan Ketua PDM dan JPK tanpa pengesahan Ketua Bahagian.
“Tindakan membelakangkan kepimpinan Bahagian menjejaskan kredibiliti dan rekod rasmi organisasi. Semua urusan perlu berpaksikan disiplin dan saluran yang sah,” tegasnya.
Menurutnya, 12 daripada 22 ahli jawatankuasa Bahagian Bandau, termasuk enam AJK dipilih dan enam lantikan, kekal menyokong kepimpinan Ketua Bahagian untuk terus bersama dalam GRS.
“Peristiwa ini harus menjadi pengajaran kepada semua Bahagian STAR agar tidak membiarkan perbezaan pandangan memecahkan keutuhan parti,” katanya.