Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah : Kerajaan disaran perkasa hab pendidikan di Sungai Manila


Read Time:1 Minute, 8 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah disaran memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan industri negeri, khususnya melalui pemerkasaan hab pendidikan di Sungai Manila.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, langkah itu penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu mengisi keperluan teknikal bernilai tinggi susulan pertumbuhan pesat kawasan perindustrian seperti Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

Menurutnya, hab pendidikan di kawasan itu yang menempatkan institusi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Politeknik Kota Kinabalu serta kolej vokasional perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan tenaga mahir tempatan.

“Kita tidak mahu belia Sabah hanya menjadi penonton atau mengisi jawatan bawahan dalam sektor industri negeri sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau turut mencadangkan rombakan kurikulum TVET agar lebih selari dengan keperluan industri semasa, termasuk memperkenalkan bidang seperti robotik industri, penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV), teknologi dron dan automasi kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi TVET dan pelabur multinasional melalui memorandum persefahaman bagi memastikan latihan yang ditawarkan relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Katanya, pelabur juga wajar memainkan peranan dengan menyediakan kemudahan latihan moden serta menawarkan jaminan pekerjaan kepada graduan sebagai insentif.

“Pendekatan ini mampu memastikan sistem TVET Sabah lebih berdaya saing dan menjadi tulang belakang kepada pembangunan industri negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE