Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: Kenaikan harga minyak dunia tidak semestinya meningkatkan hasil negeri


Read Time:1 Minute, 51 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Kenaikan harga minyak dunia tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan hasil negeri.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Ishak Ayub berkata, konflik di Timur Tengah sejak awal Mac lalu telah menyebabkan harga minyak dunia meningkat dengan ketara.

Berdasarkan data U.S. Energy Information Administration,beliau berkata, harga purata minyak mentah Brent meningkat daripada USD71 setong pada Februari 2026 kepada USD103.00 setong pada Mac 2026, iaitu kenaikan sekitar 45.5 peratus.

Katanya, setakat Jumaat lalu, pada masa pasaran tutup, harga minyak mentah Brent adalah USD106.00 setong.

“Walau bagaimanapun, kesan kenaikan harga ini tidak sepenuhnya diterjemahkan kepada peningkatan hasil Negeri.

“Ini kerana nilai Ringgit yang lebih kukuh berbanding Dolar Amerika telah mengurangkan nilai jualan apabila ditukar kepada mata wang tempatan. Kadar pertukaran pada ketika ini atau pada masa pasaran tutup 24hb April adalah RM3.97,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wong Hong Jun (Warisan–Tanjung Aru) semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Ishak berkata, selaras dengan Seksyen 14 Enakmen Cukai Jualan Negeri (CJN) 1998, bayaran CJN bagi tempoh bercukai Mac dan April 2026 akan genap masing-masing pada 28hb April dan 28hb Mei.

“Justeru, impak ke atas hasil Cukai Jualan Negeri akan diketahui apabila bayaran sebenar diterima,” katanya.

Ishak berkata bagi mendapatkan gambaran, Kementerian telah membuat unjuran awal menggunakan andaian berdasarkan prestasi semasa, bagi jumlah jualan, harga minyak, kadar pertukaran wang semasa dan kadar CJN iaitu 5 peratus.

“Berdasarkan andaian-andaian tersebut itu, jumlah kutipan CJN daripada PETRONAS dan anak syarikatnya bagi tempoh Mac hingga April 2026 dijangka mencecah RM96.5 juta, yang mana menunjukkan anggaran peningkatan hasil sebanyak RM8.9 juta atau 23peratus sebulan berbanding kutipan bulan Februari 2026.

“Namun, angka ini akan berubah tertakluk kepada perubahan dalam pasaran semasa,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun harga minyak meningkat dengan ketara, peningkatan hasil Negeri adalah lebih sederhana.

“Ini menunjukkan bahawa hasil cukai tidak bergantung kepada harga semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti kadar tukaran mata wang, jumlah pengeluaran dan keadaan pasaran.,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan pasaran minyak dunia masih tidak menentu.

“Justeru, andaian yang disediakan ini hanyalah gambaran awal kerana dinamik pasaran boleh berubah secara drastik dalam tempoh yang singkat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE