Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

‘Duit boleh cari, nyawa lebih penting’ – pelajar UMS kongsi detik rumah terbakar


Read Time:2 Minute, 40 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : “Duit boleh dicari, yang penting nyawa kita selamat,” itu antara pesanan bapa kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru ini.

Pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Suhana Abdul Han berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut kira-kira sejam selepas kebakaran berlaku.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berlaku sekitar jam 1 pagi, namun dia dimaklumkan oleh rakan pada kira-kira jam 2 pagi.

“Saya dapat tahu pun daripada kawan yang kejutkan saya. Masa itu saya baru bangun, masih mamai dan memang tidak percaya bila dengar berita itu.

“Kawan saya pun tinggal berhampiran Kampung Bahagia, cuma rumahnya turut terjejas dalam kebakaran itu. Kami sendiri tidak tahu punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan segera yang disalurkan UMS menerusi  Program Menyantuni Pelajar Mangsa Kebakaran anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) di sini pada Khamis.

Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, dia dan rakan-rakan hanya mampu mengikuti perkembangan insiden tersebut melalui siaran langsung (live) yang dibuat oleh penduduk di lokasi kejadian.

“Kami tengok kebakaran itu secara ‘live’ daripada orang kampung. Memang rasa cemas dan sedih sebab tidak dapat buat apa-apa dari jauh.

“Saya telefon bapa dan tanya sama ada mereka selamat. Bapa cakap mereka okay dan suruh saya jangan risau, tapi tiba-tiba talian terputus.

“Masa itu saya jadi sangat risau. Saya terus hubungi adik saya untuk tahu keadaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, adiknya telah dihantar ke kawasan yang lebih selamat, jauh daripada lokasi kebakaran, manakala bapanya berusaha menyelamatkan dokumen penting keluarga.

“Adik saya beritahu bapa belum sampai lagi. Dalam beberapa minit kemudian baru saya dapat hubungi semula bapak. Masa itu bapa cakap rumah kami sudah terbakar,” katanya dengan nada sebak.

Mengulas perasaannya ketika itu, Suhana mengakui dia seakan hilang arah selepas menerima berita tersebut.

“Saya rasa macam dunia saya hancur. Rumah itu kami bina dengan susah payah. Orang susah saja tahu betapa peritnya mahu kumpul dan bina semua itu.

“Tambahan pula bapa saya hanya seorang nelayan, jadi semua itu ambil masa yang lama untuk diusahakan,” ujarnya.

Menurutnya, hanya beberapa harta benda sempat diselamatkan daripada kebakaran tersebut.

“Yang sempat diselamatkan cuma mesin basuh, itu pun sudah diletakkan dalam bot. Selain itu, hanya perahu yang masih ada.

“Rumah memang tidak dapat diselamatkan langsung,” katanya.

Terdahulu,  Kasim berkata universiti sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pelajar terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana.

“UMS akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang prihatin dan responsif dengan menyediakan bantuan segera serta sokongan berterusan kepada pelajar yang terjejas agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa gangguan.

“Program ini juga bertujuan memberi sokongan moral dan emosi kepada pelajar selain mengenal pasti keperluan lanjut bagi membolehkan tindakan susulan atau bantuan tambahan dipertimbangkan,” tambah beliau.

Inisiatif tersebut menyaksikan empat pelajar UMS yang dikenal pasti terkesan menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap seorang serta sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban dan memenuhi keperluan asas mereka.

Mereka ialah Putri Qazreena Abdul Aziz dan Abdul Fadzri Abdul Zaki (Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan), Suhana Abdul Han (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) serta Nur Azrina Aina Arif (Fakulti Perhutanan Tropika). – SABAH MEDIA / FOTO UMS

LEAVE A RESPONSE